Kukuhkan kesatuan menjelang Konvensyen Wanita Perpaduan

Usaha mengukuhkan kesatuan dalam kalangan komponen parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dari peringkat pemimpin ke akar umbi akan dipergiatkan lagi menjelang Konvensyen Wanita Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei di Pusat Dagangan Dunia.

Konvensyen tersebut membincangkan isu-isu penting terutama persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam buah negeri, menurut Ketua Wanita MIC Datuk Mohana Muniandy.

“Bagi perbincangan awal mesyuarat tadi, kita masih dalam sesi suai kenal dan perjumpaan tersebut juga memperincikan beberapa perkara berkaitan Konvesyen Wanita Perpaduan.

“Antara isu yang dibincangkan ialah persiapan menjelang PRN termasuklah kerjasama di peringkat pemimpin hingga ke jentera parti,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Wanita PH, Aiman Athirah Sabu itu diadakan untuk memperkukuh kolaborasi serta membina rangkaian kerja wanita merentas parti.

Jelas kenyataan itu, tema ‘Malaysia Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ diangkat bagi membawa agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Selain itu, ketua wanita parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan turut hadir. Antaranya Fadhlina Sidek (PKR); Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Rosni Sahar (Umno)

Pada 22 Mac, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata konvensyen kebangsaan yang akan dihadiri oleh 20 parti di bawah kerajaan campuran itu adalah untuk menunjukkan solidariti terhadap pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata satu konvensyen melibatkan parti dalam kerajaan akan diadakan bagi menentukan hala tuju dan tindakan bersama dalam pentadbiran negara.

Anwar yang juga pengerusi PH berkata konvensyen itu juga bertujuan merangka pemikiran dan dasar yang sama dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.