Rumah Terbuka: MB Kelantan, Terengganu terima, kenapa tidak Sanusi dan Takiyuddin?

Pengarah Komunikasi Pusat PKR, Lee Chean Chung menempelak Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan beberapa pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat mempolitikkan Rumah Terbuka Malaysia Madani.

Beliau bertanya, mengapa tindakan pemimpin Pas negeri bercanggah dengan Menteri Besar Kelantan dan Terengganu yang mengalu-alukan penganjuran majlis tersebut kerana percanggahan daripada pemimpin parti itu telah mendedahkan perbezaan dalaman Pas yang semakin ketara.

“Sebelum ini diumumkan bahawa Menteri Besar Kelantan dari Pas, Ahmad Yaakob dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mengalu-alukan penganjuran majlis tersebut. Kemudian dikatakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Takiyuddin pula tidak bersetuju.

“Mengapakah Pas Terengganu dan Kelantan setuju tapi Pas Kedah dan Pas Pusat tolak? Bukankah ada saluran komunikasi dalaman parti untuk menyelesaikan perbezaan pendapat?

“Adakah pendirian bercanggah daripada parti yang sama telah mendedahkan perbedaan dalaman Pas menjadi semakin ketara?,” kata Lee yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata, pembangkang bagaikan puak yang terlalu dahagakan kuasa sehingga takut pada bayangan sendiri.

Rumah terbuka Kerajaan Perpaduan sebenarnya merupakan satu majlis rasmi untuk meraikan Aidilfitri bersama rakyat, dan kebiasaannya ia turut dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum sebagai satu tanda perpaduan dan muhibbah, kata Lee.

“Parti politik yang bertanggungjawab seharusnya menurunkan suhu berpolitik dan tumpu kepada isu kehidupan rakyat dan ekonomi. Saya merayu agar rakan-rakan biarpun daripada kerajaan ataupun pembangkang supaya menjadikan kita insan yang berjaya pada bulan yang penuh kebahagian ini,” katanya.

Terdahulu Takiyuddin menyifatkan hasrat Kerajaan Pusat mengadakan siri Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri tidak lama lagi sebagai sesuatu yang keterlaluan dan gelojoh.

Penganjuran rumah terbuka itu juga katanta mencabar maruah Kerajaan Persekutuan, bahkan tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini, kerajaan pusat memaklumkan akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

BACA JUGA: Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bukan pembaziran