PH akan ‘bungkus’ Shahidan dalam PRN Selangor

Pakatan Harapan (PH) Selangor nekad akan ‘membungkus’ Datuk Seri Shahidan Kassim jika Ahli Parlimen Arau itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Yahya Mat Sahri menegaskan PH negeri akan melawan habis-habisan mana-mana calon yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) termasuk Shahidan.

Beliau berharap semua pengundi Selangor bijak untuk memilih calon yang terbaik pada PRN yang bila-bila masa sahaja diadakan selepas Jun depan.

Katanya, strategi PN menggunakan bekas pemimpin kanan Umno itu untuk mereka mencapai impian menawan Selangor pada PRN dilihat tidak berbaloi.

“Shahidan duduk sahaja di Arau. Jaga sahajalah Perlis itu elok-elok memandangkan tiada apa-apa perubahan ketara yang telah dilakukan oleh beliau di Perlis walaupun pernah menjadi Menteri Besar.

“Apa yang lebih penting, kita nak pastikan apabila dia (Shahidan) sampai sahaja di Semenyih, kita akan bungkus dia,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Yahya, beliau cukup yakin dengan kebijaksanaan rakyat di Selangor untuk memilih pemimpin mereka menjelang PRN nanti.

“Saya tidak nampak orang Selangor yang cerdik-cerdik akan mengundi dan memilih Shahidan.

“Malah, saya rasa pengundi-pengundi Selangor ini jauh lebih bijak daripada Shahidan,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR turut mengalu-alukan mana-mana individu untuk bertanding pada PRN Selangor akan datang.

“Sesiapa pun boleh nak bertanding di mana-mana kawasan kalau mengikut ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Shahidan turut dialu-alukan untuk datang bertanding. Silakan, tetapi kita akan gempur dia,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Shahidan disebut-sebut antara calon yang bakal diketengahkan dalam PRN di Selangor dikatakan bakal bertanding di kerusi DUN Semenyih.

Shahidan juga dilihat sudah kerap kali turun di Semenyih sebelum ini sekali gus menguatkan lagi desas-desus Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu bertanding di kawasan majoriti Melayu tersebut.

Dalam PRU14, DUN Semenyih dimenangi oleh Bakhtiar Mohd. Noor dari PH sebelum diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan kematiannya pada Januari 2019 akibat serangan jantung.

Dalam PRK itu, Barisan Nasional (BN) merampas kembali DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam pilihan raya tersebut.

BACA JUGA Muda intai peluang bertanding PRN Selangor

Â