Selepas kera, babi dan anjing, Hadi kiaskan seluang dan semut pula

Selepas kera, anjing dan babi kini Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memetik seluang dan semut pula dalam tulisannya.

Menurut beliau, seluang ialah spesies ikan kecil yang paling dibenci oleh kaki pancing, kerana ia hanya memakan umpan dan meninggalkan mata pancing sahaja kerana saiznya yang kecil, sebelum sempat dimakan oleh ikan besar yang mahu ditangkap.

Ia menyebabkan pemancing sangat kecewa dengan sebab gangguannya yang menghabiskan umpan tanpa memperoleh sebarang hasil, katanya yang pernah berkata beliau mahu menjadi nelayan semula jika tidak menang dalam pilihan raya itu.

“Adapun ikan besar yang rakus memakan umpan mestilah mudah ditangkap, kerana pelahap sehingga termakan mata pancing.

“Akhirnya, ia dimasak atau dijual untuk dimasak menjadi makanan,” kata beliau dalam tulisannya melalui Minda Presiden di hari raya ke 6.

Hadi juga memetik semut dalam tulisannya kali ini, iaitu sejenis serangga kecil yang hidup secara berkumpulan dengan jumlah yang banyak.

“..kebijaksanaan binatang semut boleh menyelamatkan kaumnya, supaya tidak rakus mengejar makanan yang tumpah sehingga boleh menyebabkan mereka dipijak,” kata beliau memetik cerita tentang Nabi Sulaiman dan semut.

Projek Jana Wibawa telah digunakan untuk menyakau duit negara tetapi Hadi tetap melihat semut di seberang bukan gajah di depan mata.

Menurut beliau, dalam tulisan itu, kebendaan yang sedang merosakkan pemimpin dan rakyat.

“Menyebabkan merebaknya penyakit rasuah bermula dalam soal pentadbiran sehinggalah ke dalam parti politik yang memerintah negara yang dipengaruhi politik wang.

“Sehinggakan, negara ditadbir secara rasuah, memilih pemimpin dengan membeli mereka dan membeli sokongan rakyat oleh kalangan penyumbang rasuah yang kaya-raya dengan amalan rasuah juga,” katanya seolah-olah menyindir rakannya Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang membuat perancangan melalui scheme of things yang terkenal itu.

Dalam masa yang sama Hadi turut menyerang Pakatan Harapan dalam tulisannya kali ini.

“Termasuklah kerajaan Pakatan Harapan terkini yang dibentuk oleh penyumbang rasuah bersama perpaduan dengan kalangan mereka yang berpenyakit rasuah,” kata beliau tanpa menyebut bahawa rakan kongsi utama beliau yang memimpin Perikatan Nasional (PN) sedang didakwa kerana menyakau wang negara untuk kepentingan peribadi dan parti mereka.

Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan beberapa pengikutnya didakwa kerana mengambil wang kerajaan melalui program Jana Wibawa untuk kepentingan partinya bagi membolehkan beliau menang dan menjadi perdana menteri semula.

Hadi turut memetik kenyataan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Mursyid ‘Am telah mendidik rakyat Kelantan dengan kata-katanya yang terkenal:

“Bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil, namun tetap undi bulan (Pas).”

“Laksana seluang yang memakan umpan, lalu meninggalkan mata pancing yang kosong,” katanya.

 

BACA JUGA ‘Elok jamu makan dari jamu rakyat teh o beng’

JUGA 15 MP BN sahaja tidak cukup untuk jatuhkan Kerajaan Perpaduan

DAN JUGA (Kartun) Antara PM berwibawa dan suspek Jana Wibawa