SPRM siasat Daim isu 12 aset luar pesisir didedah Kertas Pandora

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa mengadakan pertemuan sulit dengan tiga operator politik parti pembangkang sejak beberapa hari lalu.

Rakan lama dan sekutu Tun Dr Mahathir Mohamad itu didakwa membuat perancangan untuk menggugat Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perancangan tersebut dikatakan bagi mengelak pendakwaan terhadap salah laku membabitkan jutaan ringgit wang negara yang dihadapi oleh pihak tertentu sekarang.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor sedang menyiasat kekayaan di luar negara milik Daim dan keluarganya seperti didedahkan Kertas Pandora.

Daim bersama seorang lagi anak bekas perdana menteri telah dipanggil SPRM pada Februari lalu.

Utusan Malaysia melaporkan, bekas menteri itu telah diminta menjelaskan aliran wang dan pelaburan ke dalam 12 syarikat luar pesisir yang berdaftar atas namanya dan ahli keluarganya di luar negara.

Penyiasat juga dilaporkan sedang menyiasat sama ada dana itu datang daripada projek kerajaan atau tidak.

Laporan itu tidak menyebut nama Daim sebaliknya merujuk kepada “bekas menteri kewangan berusia 84 tahun.”

Mereka juga tidak menamakan orang lain yang disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Sumber yang tidak dinamakan dilapor memberitahu media tempatan bahawa siasatan masih di peringkat awal dan lebih ramai orang mungkin akan disoal berhubung Kertas Pandora tidak lama lagi.

“Aliran wang kepada pelaburan asing dan kemudian penemuan laporan Kertas Pandora sedang dikaji dengan teliti dan siasatan sedang dijalankan untuk melihat sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah seperti yang dinyatakan dalam laporan antarabangsa itu,” kata sumber itu.

Individu yang dipanggil untuk disoal siasat tidak akan dinamakan, seperti amalan biasa berhubung orang yang belum didakwa di mahkamah.

Kertas Pandora ialah kerjasama global yang diketuai oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) dan berdasarkan 11.9 juta rekod sulit yang bocor daripada 14 penyedia perkhidmatan kewangan luar negara.

Siasatan rentas sempadan mendedahkan lebih 300 ahli politik, ahli perniagaan dan penjenayah di seluruh dunia menggunakan “shell company” di beberapa tempat perlindungan cukai untuk menyembunyikan kekayaan mereka.

Turut menyorokkan aset bernilai ratusan trillion ringgit sejak 25 tahun lalu ialah bilionaire, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah.

Rakan media ICIJ di Malaysia juga mendedahkan bahawa dua anak lelaki Daim adalah pemegang saham sebuah syarikat shell yang memegang hartanah berjuta-juta dolar di London.

Bagaimanapun, Daim menafikan sebarang salah laku.

Mempunyai entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, tetapi dalam beberapa keadaan, amalan itu dikaitkan untuk mengelak cukai.

Dalam kes lain, ia cubaan untuk mengekalkan kerahsiaan atas pelbagai sebab.

BACA JUGA Kertas Pandora: SPRM siasat, dakwa berdasarkan bukti dan fakta