Tidak mustahil kemiskinan tegar akan berakhir tahun ini
Kerajaan Perpaduan berhasrat untuk menamatkan kemiskinan tegar dalam kalangan 130,000 ketua isi rumah di seluruh negara pada tahun ini dengan melaksanakan pelbagai program bantuan dan insentif.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan yakin dan senada dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan sasaran untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini.
Beliau berkata, banyak pihak turut memberi pelbagai reaksi berhubung hasrat kerajaan itu termasuk menganggap sebagai dongeng, mustahil, fantasi dan retorik untuk dicapai.
“Tapi kena ingat penanda aras seperti kita sebut tadi. Maknanya, nak kata mustahil tidak boleh, kita katakan ia adalah mustahil.
“Kita kena cakap kemiskinan tegar isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,169 jadi apabila meletakkan satu sasaran, kita akan pastikan kemiskinan tegar itu dapat disifarkan di akhir tahun ini,” kata Zahir.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pengelola PKR berkata demikian selaku ahli panel pada Wacana Sinar bertajuk ‘Sara Hidup: Rakyat Masih Tersepit?’ kelmarin.
Turut menjadi panel ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Dr Rosni Adam dan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Izham Nayan manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Dalam pada itu, Zahir turut mengingatkan agar semua pihak untuk berganding bahu bagi memastikan hasrat pembasmian kemiskinan tegar dapat dicapai secara bersama.
“Tolak perbezaan politik kerana ia adalah menjadi satu keutamaan kerana kita tahu juga dalam Islam itu bahawa kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran.
“Jadi, ia adalah menjadi satu ujian untuk sama-sama kita dukung dan jayakannya,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha pembasmian kemiskinan sedang rancak dilaksanakan oleh beberapa kementerian atau agensi berkaitan.
Antaranya, Inisiatif Pendapatan Rakyat oleh Kementerian Ekonomi, Sumbangan Tunai Rahmah (Kementerian Kewangan), Program Payung Rahmah (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) serta Program Rebat Bil Elektrik RM40 (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli).
Â