Fahmi ucap takziah atas pemergian Mael XPDC
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah atas pemergian vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mael malam tadi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sebagai antara jutaan peminat penyanyi itu, beliau mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Saya antara jutaan peminat beliau dan ‘Semangat yang Hilang’ merupakan lagu kegemaran saya.
“Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman,” ciapnya di Twitter malam tadi.
Terdahulu berita kematian penyanyi berumur 55 tahun itu dikongsi oleh pengurusnya yang dikenali sebagai Bro Yazid di laman Facebook.
Berita duka tersebut disahkan anaknya, Sharifah Irfatasha menerusi satu kiriman teks di WhatsApp.
“Adalah dengan amat sedihnya dimaklumkan bahawa bapa saya meninggal dunia di Hospital Muar pada Khamis, 27 April 2023, lebih kurang jam 9.30 malam,” katanya.
Sekitar 1990 sehingga awal 2000, XPDC yang dianggotai Mael, Izo, Zuar dan Amy berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit.
Jumlah itu tercatat menerusi jualan album Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997) serta beberapa album kompilasi.
BACA JUGA: Menteri Komunikasi nafi penyanyi Dayangku Intan ‘digam’