Gagal urus isu air, Sanusi tuding jari kepada PH – Bekas Exco
Kegagalan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang diketuai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam menguruskan bekalan air bersih kepada rakyat merupakan punca krisis bekalan air bersih di negeri itu teruk terjejas.
Bekas Exco negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata tindakan exco negeri yang cuba menyalahkan Pakatan Harapan (PH) ekoran kegagalan mereka sendiri menangani krisis air sebenarnya satu taktik ‘escapism’ iaitu melepaskan diri daripada sesuatu kesalahan dengan menuding orang lain.
Katanya, Sanusi sendiri yang berjanji kepada rakyat Kedah untuk menyelesaikan isu bekalan air namun selepas tiga tahun tidak dapat berbuat demikian lalu menyalahkan PH.
“Pengerusi SADA iaitu Menteri Besar Kedah gagal dalam menguruskan bekalan air kepada kawasan-kawasan yang terjejas.
“Untuk jangka masa panjang, kita dari dulu lagi rancang untuk bina lima buah Loji Rawatan Air (LRA). Jangka sederhana pula penggantian paip tetapi jangka pendek, SADA buat apa? Setiap kali musim raya dan cuti sekolah mesti tak cukup. Dia buat apa?
“Sekarang dia buat ialah hantar air ke rumah-rumah dengan lori. Tapi jumlah lori tak cukup dan tak sistematik sebab ada yang dapat, ada yang tak dapat. Jadi maknanya dia gagal menguruskan untuk memberi bekalan air kepada semua rumah yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Tambahnya, operasi penggantian paip lama dan projek naik taraf lima LRA yang sepatutnya siap sebahagiannya pada tahun ini dan tahun depan juga tidak dapat diselesaikan disebabkan kontraktor lantikan Sanusi tiada berkemampuan menjalankan projek tersebut.
Ujarnya, Sanusi perlu menggantikan segera kontraktor yang menguruskan projek LRA itu kerana perkembangan kerjanya sangat perlahan.
“Dia kata 2023 akan selesai tapi sekarang makin teruk. Sepatutnya sebahagian projek RLA siap pada tahun ini dan sebahagian lagi tahun depan. Kalau siap semua itu, memang selesai.
“Tapi masih tak selesai juga. Salah siapa? Salah dia (Sanusi) dan kontraktor yang dilantik itu tak mampu dari segi kewangan. Kontraktor yang gagal itu patut diganti dengan kontraktor lain. Sebab saya nampak depa gagal, terlewat siap. Terlalu lambat, perlahan.
“Jadi nak tutup hat (perkara) itulah, maka dia salahkan kita. Dia kata kita dulu melewatkanlah, cuailah apa lah. Tak ada, tak ada ‘delay’. Perkara ini (memulihkan bekalan air) adalah proses berterusan dari ketika PH mentadbir,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah menempelak PH yang memimpin Kedah sebelum ini kerana didakwa menjadi punca kelewatan menaik taraf infrastruktur air di negeri itu.
Menurutnya, usaha menaik taraf infrastruktur air di Kedah dirancang sejak tahun 2010 melalui penubuhan SADA, audit kedudukan semasa dan unjuran keperluan masa depan bekalan air yang sudah dilaksanakan ketika itu.
Exco negeri juga mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi kerajaan di Kedah bertindak dengan cuai serta lalai dalam menyelesaikan masalah air sehingga menyebabkan rakyat menerima kesannya ketika ini.
Kedah antara negeri yang terjejas apabila bekalan air dilaporkan tiada pada hari raya pertama minggu lalu, bahkan ada yang berdepan situasi tiada air sejak tiga bulan lalu.
Justeru itu, nama Sanusi disebut-sebut kerana kerajaan negeri pada 2020 dilapor telah menerima peruntukan lebih RM900 juta daripada Kerajaan Pusat bagi memastikan masalah air diselesaikan dan rakyat mendapat sistem bekalan lebih selesa pada masa hadapan.
Namun kegagalan Sanusi mengotakan janjinya sehingga berpuluh ribu penduduk terkesan dengan ketiadaan air semasa hari raya Aidilfitri mengundang ketidakpuasan hati banyak pihak.
“Sebab nak senang, mereka salahkan kita. Escapism padahal semasa dia ambil alih hari itu dia bagi jaminan, dia kata dengan bajet sedia ada, dengan loji baru, dia boleh selesaikan bekalan air pada 2023.
“Tengok-tengok tahun ini lagi teruk. Inilah dia, menyalahkan orang lain dan melarikan diri dari masalah. Masa kita tadbir hari itu pun ada masalah tapi kita tak salahkan orang. Kita uruskan langkah sederhana, tambah lori tangki, wakil rakyat sewa sendiri lori. Sekarang ini tak ada, tak ‘organized’,” tambah Ismail.
BACA JUGA: Masalah bekalan air Kedah: ‘Jangan hanya kokok sahaja berdegar-degar’
Krisis air Kedah: ‘Pihak Sanusi berani ambil kerajaan tapi tidak mahu bertanggungjawab’