Guna dacing BN: Tiada kata putus

Keputusan menggunakan logo Barisan Nasional – dacing – oleh BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri di Kelantan dan Terengganu belum lagi dimuktamadkan.

Ketua AMANAH Kawasan Tanah Merah, Hisham Fauzi menjelaskan bahawa perkara tersebut hanya pandangan peribadi dan masih belum diputuskan.

“Masih belum ada keputusan rasmi begitu juga dengan pendekatan kempen yang akan digunakan bagi tujuan PRN.

“Jadi, apa yang dilaporkan setakat ini masih pada pandangan peribadi sahaja,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Salah seorang ahli AMANAH Kelantan yang berpendapat penggunaan logo BN wajar digunakan pada PRN di Kelantan dan Terengganu atas faktor penerimaan pengundi yang lebih mesra dengan lambang tersebut.

Menurut Hisham, PH dan BN turut mempereratkan hubungan mereka menerusi siri perjumpaan tidak rasmi.

“Sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, hubungan kerjasama dengan Umno baik sahaja. Kami banyak kali membuat pertemuan secara tidak rasmi dan membincangkan banyak perkara melibatkan politik semasa,” ujar Hisham.

Konvensyen Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 14 Mei ini bagi membincangkan hala tuju komponen parti yang berada dalam blok kerajaan.

Selain itu, fokus persiapan PRN di enam buah negeri juga dibincangkan bagi meningkat tahap kesiapsagaan jentera parti dan kebolehmenangan kerusi yang dipertandingkan.

Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan akan menyaksikan pilihanraya negeri selepas bulan Jun.

BACA JUGA PRN: Jangan terlalu optimis atau pesimis, Anwar