Kes baharu sahaja difailkan, Lembaga Pengampunan tidak bincang permohonan Najib

Petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk dibebaskan dari penjara tidak dibincangkan dalam sidang Lembaga Pengampunan pagi tadi.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga tersebut tidak membentangkan petisyen pengampunan terhadap Najib ketika persidangan hari ini, lapor BH.

Persidangan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula jam 11 pagi tadi.

“Sidang hari ini tidak membincangkan petisyen Najib kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International, baharu sahaja difailkan.

“Petisyen yang difailkan beliau perlu mengikut giliran. Persidangan yang berlangsung hari ini hanya membincangkan kes-kes terdahulu yang diterima lebih awal oleh urus setia Lembaga Pengampunan,” lapor BH memetik sumber.

Najib, 70, kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dia pada September tahun lalu memfailkan permohonan pengampunan diraja setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara itu serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal dalam permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman tersebut.

BACA JUGA AMANAH rayu tolak permohonan pengampunan Najib