OIC digesa berusaha selesai konflik bersenjata di Sudan – AMANAH

Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam berusaha menangani konflik bersenjata di Sudan selepas sebelum ini gagal menyelesaikan banyak masalah yang melanda negara umat Islam.

Beliau berkata OIC sekali lagi gagal bertindak mencegah perang di Sudan daripada berpanjangan.

“Jika begitu, apakah peranan sebenar OIC? Adakah ia masih perlu diwujudkan? Ataupun OIC hanya menjadi penonton kepada konflik yang berlaku sesama negara anggotanya tanpa perlu berbuat apa apa. Ayuh OIC!” katanya dalam kenyataan.

MOHAMAD SABU

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata keadaan begitu berbeza apabila China, sebuah negara kuasa besar bukan Islam berjaya menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertelingkahan panjang di antara Arab Saudi dan Iran baru-baru ini dan bukannya OIC.

“Sekarang ujian kepada OIC lebih berat apabila berlakunya perang saudara di Sudan.

“Perang yang bermula di penghujung bulan Ramadan ketika umat Islam sibuk beribadat di malam malam Lailatul Qadar dan berpanjangan di hari raya Aidilfitri,” ujarnya yang juga bekas Menteri Pertahanan.

Terdahulu Mohamad menyatakan OIC sebelum ini gagal menyelesaikan Perang Iran-Iraq (1980-1988) dan perang yang berlaku di Syria dan Libya (2011 hingga kini).

“OIC gagal menyelesaikan perang di Yaman yang diserang sejak 2015 oleh pakatan negara-negara Arab yang diketuai negara jirannya Saudi,” katanya.

Sementara itu, OIC dalam kenyataan berkata Setiausaha Agungnya Hissein Brahim Taha menerima kunjungan Duta Khas Presiden Majlis Berdaulat Peralihan Sudan ke Negara Jiran dan Kesatuan Afrika, Dafallah El Haj Ali yang membentangkan penjelasan terperinci tentang pendirian kerajaan Sudan mengenai situasi semasa di Sudan.

Hissein menyatakan harapannya agar gencatan senjata kemanusiaan akan diteruskan dengan gencatan senjata kekal akan dicapai sekali gus membawa kembali keselamatan dan kestabilan di Sudan secepat mungkin.

“Setiausaha Agung menyatakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif OIC akan diadakan pada 3 Mei ini bagi membincangkan situasi di Sudan, mencerminkan minat negara anggota dalam konflik yang sedang berlaku di Sudan dan komitmen mereka terhadap keselamatan, perpaduan dan kestabilan Sudan,” kata kenyataan itu hari ini.

Terdahulu Hissein dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi dalam membantu proses evakuasi warga negara anggota keluar dari Sudan.

“Setiausaha Agung sekali lagi merayu agar genjatan senjata diadakan di Sudan dan dialog dihidupkan semula bagi menjamin keselamatan rakyat Sudah, negara dan keupayaannya,” ujarnya.

BACA JUGA: Konflik Sudan: 30 rakyat kita selamat tiba di Jeddah, pulang ke tanah air esok