Pas perlu dipertanggungjawabkan di atas kualiti kemudahan Kelantan

Veteran DAP, Lim Kit Siang turut menyalahkan pentadbiran Pas di Kelantan kerana kualiti kemudahan yang teruk.

“Baru-baru ini timbul kontroversi antara Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (Datuk Mohammad Agus Yusoff) dan Pemuda Pas berkenaan kualiti air di Kelantan. Tetapi ia tidak memberikan sebarang solusi dan jawapan.

“Persoalannya siapakah yang bertanggungjawab terhadap kualiti air yang teruk, jalan yang sempit dan berlubang serta sampah yang tidak dikutip di Kelantan jika bukan Pas yang mentadbir Kelantan lebih setengah abad.

“Soalan seterusnya yang ingin ditanya ialah apakah perancangan kerajaan negeri Pas untuk menyelesaikan masalah rakyat Kelantan yang berlarutan ini,” soal Kit Siang.

Kritikan Agus memulakan polemik berkenaan kemudahan asas di Kelantan.

Agus menyenaraikan tiga perkara yang merimaskannya ketika pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri: kualiti air teruk, jalan sempit dan berlubang dan sampah di merata tempat.

Kritikannya itu kemudian mengundang kemarahan Pemuda Pas Kelantan yang menyifatkan Agus tidak cermat ketika membandingkan Kelantan dengan Pulau Pinang.

Pemuda Pas negeri itu mendakwa Agus penyebab Pulau Pinang telah diheret sekali dalam perbandingan dibuatnya, selain mendakwa Pulau Pinang juga berhadapan masalah serupa dengan Kelantan seperti isu sampah haram.

Ekoran itu, ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil dari Pulau Pinang menjemput Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Nawi untuk datang ke Pulau Pinang untuk belajar ilmu pengurusan kebersihan.

Â