Rafizi dakwa rumah terbuka kerajaan PN lebih mahal
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil menjawab dakwaan yang ditimbulkan pembangkang bahawa penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di luar Lembah Klang sebagai satu pembaziran dan bertujuan untuk kempen pilihan raya.
Menurut Rafizi, Jemaah Menteri telah pun memutuskan untuk mengadakan rumah terbuka di peringkat negeri kerana belanjanya lebih murah berbanding dengan yang dibuat sebelum ini di Putrajaya.
Bahkan jelasnya, rumah terbuka di Putrajaya anjuran kerajaan yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sebenarnya adalah lebih mahal.
“Ini kerana ia melibatkan 100,000 kehadiran. Kehadiran di enam rumah terbuka yang dipertikaikan ini adalah untuk kehadiran 10,000 setiap satu, sebab itu kosnya lebih murah.
“Kerajaan Persekutuan pula hanya menanggung belanja sepenuhnya di tiga negeri sahaja iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, ia dikendalikan dan dibayar oleh kerajaan-kerajaan negeri ini.
“Jadi, ia mengurangkan belanja Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu perkongsian di TikTok hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi, jikalau Kerajaan Persekutuan tidak turun ke Kelantan, Terengganu dan Kedah, pasti ada suara sumbang yang mendakwa kerajaan meminggirkan rakyat di negeri pembangkang.
Namun, apabila kerajaan bertindak sebaliknya dengan turun menyantuni rakyat, ada pula pihak menuduh mengatakan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim membazir dan berkempen.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR menganggap siri pertikaian itu tidak akan berkesudahan kerana isu peruntukan juga pernah dipertikai pihak pembangkang.
“Sebelum ini, mereka kata Kerajaan Persekutuan tidak bagi peruntukan. Bila saya jawab di Parlimen bagaimana Kelantan, Terengganu dan Kedah dapat keutamaan dan peruntukan yang lebih banyak, mereka kata itu belum cukup sebab Sabah Sarawak dapat lebih banyak.
“Siri pertikaian PN ini tidak akan habis. Pandangan saya, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing perlu tumpu buat kerja.
“Kami ada tanggungjawab seperti membaiki ekonomi, mengurangkan hutang negara dan memastikan kebajikan rakyat terjaga.
“Menteri Besar Kedah juga ada tanggungjawab perbaiki bekalan air di Kedah. Jangan sampai berulang lagi rakyat Kedah beraya tanpa bekalan air macam tahun ini,” sinisnya lagi.
BACA JUGA Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri PRN
Â