Sasar 55,000 pengunjung, rakyat berpeluang dekati pemimpin negara

Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di Kedah, Kelantan dan Terengganu mensasarkan jumlah keseluruhan kira-kira 55,000 pengunjung.

Menerusi kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, 25,000 pengunjung dijangkakan hadir dalam majlis itu manakala sasaran 25,000 pengunjung masing-masing di Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, penganjuran rumah terbuka di Seri Perdana sebelum ini boleh mencecah sehingga 10,000 pengunjung.

Program sempena Syawal itu, kata JPM, memberi ruang kepada Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri menyantuni rakyat yang sebelum ini tidak pernah berpeluang untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama pemimpin negara kerana kesukaran untuk berkunjung ke Seri Perdana.

“Selaras dengan konsep Malaysia Madani, penganjuran kali ini adalah dengan kerjasama strategik kerajaan negeri selain kementerian peneraju yang turut dilantik bagi membantu pelaksanaan majlis,” katanya.

Jelas JPM lagi, penganjuran rumah terbuka bermula di Kedah esok membolehkan perbelanjaan dilakukan secara berkesan melalui penganjuran secara bersasar.

Majlis bersama Perdana Menteri di tiga negeri itu juga membolehkan perkongsian sumber, tenaga kerja dan kemahiran melalui kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan dan negeri serta majlis yang turut diadakan secara serentak.

“Kaedah penganjuran bersama ini juga diyakini dapat mengukuhkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” tambah JPM lagi.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil menjawab dalam Tiktok akaunnya menjelaskan perbelanjaan rumah terbuka tersebut lebih murah berbanding anjuran yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Tambah Ahli Parlimen Pandan itu, jikalau Kerajaan Persekutuan tidak turun ke Kelantan, Terengganu dan Kedah, pasti ada suara sumbang yang mendakwa kerajaan meminggirkan rakyat di negeri pembangkang.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu menumpukan tanggungjawab seperti membaiki ekonomi, mengurangkan hutang negara dan memastikan kebajikan rakyat terjaga.

BACA JUGA ‘Lebih murah buat rumah terbuka di Alor Setar berbanding Putrajaya’