TH umum agihan untung 3.1 peratus, libat pembayaran RM2.65 bilion

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika mengumumkan perkara itu berkata agihan keuntungan berkenaan melibatkan pembayaran sejumlah RM2.65 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.

Kadar agihan tersebut sama seperti tahun sebelumnya namun melibatkan peningkatan jumlah pembayaran sebanyak tujuh peratus berbanding tahun 2021 sebanyak RM2.46 bilion.

“Alhamdulillah. Saya ingin zahirkan kesyukuran atas pencapaian kewangan yang direkodkan oleh Tabung Haji bagi tahun 2022, walaupun dalam persekitaran ekonomi yang amat mencabar.

“Demi kesejahteraan para pendeposit, TH terus mengekalkan pembayaran agihan keuntungan seperti tahun-tahun sebelumnya,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad.

Mohd Na’im turut mengumumkan TH mencatatkan pendapatan kasar RM3.8 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM3.72 bilion pada tahun 2021.

“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus, dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula pukul 12 tengah hari pada Sabtu ini (29 April).

Ia boleh dibuat melalui aplikasi THijari, kaunter TH dan saluran elektronik di beberapa bank seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan Ambank.

Mohd Na’im memberitahu agihan tersebut telah ditolak zakat berjumlah RM97 juta yang dilunaskan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit Tabung Haji.

“Para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini Tabung Haji telah melunaskan zakat berjumlah RM1.27 bilion,” katanya.

Sementara itu, Mustakim berkata kenaikan jumlah agihan keuntungan itu adalah disebabkan peningkatan simpanan dalam akaun pendeposit TH.

BACA JUGA: TH pertimbang konsep wakaf haji, tangani tekanan subsidi