Tidak perlu ragu arah kiblat masjid, surau di Selangor – MAIS

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa masyarakat Islam tidak perlu meragui tentang penentuan arah kiblat masjid dan surau di negeri itu.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penentuan arah kiblat telah mendapat perhatian serius Sultan Selangor yang tidak mahu mana-mana pihak termasuk media membuat laporan kurang tepat hingga boleh mengelirukan masyarakat dan mencalarkan imej Islam.

Dalam hal ini, beliau berkata arah kiblat masjid dan surau sedia ada di Selangor telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti negeri.

“MAIS turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musolla yang baharu mula beroperasi.

“Dalam hal penentuan arah kiblat, Jabatan Mufti Negeri Selangor sentiasa memberikan pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor atau program pencerahan yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kekeliruan yang timbul ekoran laporan sebuah akhbar bertajuk “40 peratus arah kiblat Lembah Klang tersasar” berdasarkan pernyataan daripada Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS).

Abdul Aziz berkata MAIS menegaskan tajuk laporan akhbar itu adalah kurang tepat dan tidak menggambarkan perkara sebenar serta telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Selangor.

Katanya pihak MAIS telah meminta penjelasan berhubung perkara ini daripada pihak PAFNS yang diwakili oleh Prof. Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin dan Abdul Latip Ibrahim dalam suatu pertemuan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“Pertemuan ini turut dihadiri oleh Mufti Selangor Datuk Prof Madya Dr Anhar Opir dan anggota MAIS Datuk Salehuddin Saidin. MAIS menegaskan laporan akhbar tersebut hanya merujuk kepada penentuan arah kiblat rumah kediaman sahaja berdasarkan permohonan khidmat penentuan arah kiblat bagi rumah kediaman yang diterima oleh PAFNS,” katanya.

Tambahnya laporan tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan penentuan arah kiblat masjid dan surau di Negeri Selangor.

“MAIS menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan keliru dengan tajuk yang dipaparkan dalam laporan akhbar tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Jabatan Mufti Negeri Selangor sentiasa memberikan pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat.

Berdasarkan pencerahan dan hebahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, penentuan arah kiblat boleh dilaksanakan dengan berpandukan kepada kaedah seperti berikut:

(i) Semakan arah kiblat ketika berlakunya fenomena matahari tegak di atas Kaabah yang dikenali sebagai Istiwa’ A’dzom yang berlaku pada setiap 28 Mei dan 16 Julai pada tahun biasa dan pada 27 Mei dan 15 Julai pada tahun lompat;

(ii) Jadual kedudukan matahari dalam keadaan yang searah dengan Kaabah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor;

(iii) Menggunakan aplikasi eFalak Selangor atau apa-apa aplikasi lain yang boleh membantu untuk mengenal pasti arah kiblat yang boleh didapati melalui laman maya atau apa-apa pautan dan dimuat turun dan dipasang pada peranti atau gajet mudah alih; atau

(iv) Mendapatkan perkhidmatan penentuan arah kiblat daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor atau pihak lain yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam menentukan arah kiblat dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Penentuan arah kiblat yang dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung dengan Had Berpaling Yang Dibenarkan Daripada Arah Qiblat (Had al-Tahawwul ‘Ani al-Qiblat) yang menjelaskan bahawa arah mengadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni.

“Penentuan had tidak melebihi 3 darjah bagi pesongan mihrab yang dibenarkan boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baharu,” katanya.

BACA JUGA: MAIS larang program babit umat Islam di rumah ibadat agama lain