10,000 banjiri Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Sepang
Seramai kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri yang membuka tirai di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang malam tadi.
Program itu dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.
Amirudin dan isteri meluangkan masa mengunjungi 31 gerai yang menghidangkan pelbagai juadah hari raya antaranya kambing bakar, ayam golek, sate, roti jala, lemang, rendang, nasi lemak, apam balik, buah potong dan air balang.
Pada majlis itu, Amirudin beramah mesra dengan para pengungjung terdiri daripada pelbagai kaum selain menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.
Pengunjung teruja dapat bertemu secara dekat dengan Menteri Besar dan mengambil kesempatan bergambar serta berswafoto.
Sambil menjamu selera, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal Siti Nordiana dan tarian artis Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) Selangor.
Dalam program itu, pengunjung juga dapat menerima pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP).
Amirudin berkata Jelajah Kita Selangor Aidilfitri memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu pemimpin negeri.
“Jelajah yang dianjurkan setiap minggu ini memberi peluang masyarakat setempat dan penduduk bertemu dengan pemimpin negeri serta ketua jabatan dalam meraikan Aidilfitri.
“Kerajaan Negeri tidak ketinggalan menganjurkan majlis Aidilfitri di setiap daerah yang dimulakan sejak tahun lalu,” katanya ditemui dalam program jelajah itu malam tadi.
Terdahulu ketibaan Amirudin disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Datuk Abd Hamid Hussain.
Turut hadir Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, Exco Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, Timbalan Speaker Selangor Hasnul Baharuddin yang juga wakil rakyat Morib dan wakil rakyat Dengkil Adhif Syan Abdullah.
Jelajah Kita Selangor Aidilfitri berlangsung di sembilan daerah bermula di Sepang malam tadi diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor hari ini dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (30 April).
Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).
Program tersebut turut akan diadakan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).
Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BACA JUGA: Jelajah #Kita Selangor Aidilfitri di sembilan daerah bermula Jumaat