Hak asasi: Suaram perlu objektif, kerajaan mahu elak kesilapan lalu – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) supaya lebih objektif dalam membuat kritikan terhadap kerajaan dalam menjayakan agenda pembaharuan negara.

Perdana Menteri berkata dalam melaksanakan pembaharuan, penting bagi kerajaan mengelak daripada membuat “kesilapan politik” seperti sebelum ini.

“Kita melihat kesilapan (sebelum ini) yang dibuat dengan (cubaan ratifikasi) Icerd (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum).

“Kami juga komited dengan hak asasi manusia, tetapi anda perlu memberi kita masa,” katanya memetik laporan daripada FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, Suaram perlu berlaku adil dalam mengeluarkan kenyataan terhadap pemimpin nombor satu negara itu.

Menerusi satu kenyataan Sim memaklumkan tindakan Kerajaan Perpaduan memansuhkan hukuman mati mandatori telah diiktiraf oleh banyak organisasi sebagai langkah ke hadapan untuk hak asasi manusia di Malaysia.

Jelasnya Parlimen telah menubuhkan 10 jawatankuasa pilihan khas untuk menyelia semua kementerian bagi memastikan akauntabiliti dan tadbir urus yang lebih baik.

Selain itu, Sim berkata, Anwar sendiri melaksanakan sesi Soalan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen bagi meningkatkan peranan pembangkang sebagai semak dan imbang.

“Ironinya, pemimpin pembangkang yang gagal menghadiri semua PMQT. Sudahkah Suaram mengkritik pemimpin pembangkang,” katanya.

Semalam, Suaram mengkritik Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau akan menjadi Perdana Menteri paling teruk jika gagal mereformasikan apa yang dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini.

Menyifatkan kerajaan lambat dalam memperkenalkan dasar berkaitan melindungi hak asasi manusia, Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy mempersoalkan tekad politik kerajaan untuk mengubah undang-undang yang menekan di negara ini.

BACA JUGA: PM Anwar ulangi tekad tamatkan kemiskinan tegar