Isu Najib: Kesepakatan PH, BN tidak seharusnya terjejas, kata Khalid

AMANAH berpandangan pendirian parti itu menolak pengampunan diraja ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya menjejas kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan yang dianggota oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasinya Khalid Abdul Samad menegaskan dasar hormat menghormati dan kesepakatan untuk memelihara negara perlu diutamakan berbanding persoalan perbezaan pendapat berhubung isu-isu khusus seperti pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita akui Najib adalah individu berjasa bagi Umnoo, jadi kita menghormati pendirian mereka (gesaan membebaskan Najib).

“Tetapi mereka perlu menghormati pendirian kita yang berbeza terhadap Najib dan untuk tidak mengampunkan Najib,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

“Saya minta maaf sekiranya pandangan kami terhadap Najib adalah berbeza tetapi itu adalah hakikat yang diketahui umum. Saya difahamkan ada di kalangan pimpinan dan ahli Umno merasa terluka-hati apabila kenyataan saya dikeluarkan. Bukan niat saya untuk melukakan hati mana-mana pihak tetapi sekadar menyatakan pandangan kami dalam isu yang penting ini,” tambah beliau lagi.

Jelasnya memandangkan Kerajaan Perpaduan terdiri daripada blok parti yang mempunyai perbezaan pemahaman politik, prinsip ‘agree to disagree’ perlu dirai bagi mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan untuk memulihkan negara.

“Kerjasama ini terdiri daripada pelbagai parti dan kita berkongsi satu citra yang lebih besar iaitu pentabiran yang bersih, cekap dan berkesan serta keselesaan rakyat.

“Oleh itu, persamaan tersebut perlu mengatasi perbezaan dalam isu-isu tertentu,” tambah Khalid.

Semalam, dalam satu kenyataan Khalid berkata AMANAH merayu Yang di-Pertuan Agong menolak rayuan pengampunan diraja ke atas bekas Perdana Menteri keenam yang kini menjalani hukuman di penjara Kajang.

Khalid berkata kesepakatan Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan masyarakat Madani perlu diterjemahkan dengan diperlihatkan ketegasan memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin dan penyokong BN khususnya UMNO.

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberikan komen yang tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas perdana menteri itu.

Katanya pengampunan tersebut adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan budi bicara baginda.

BACA JUGA: AMANAH rayu tolak permohonan pengampunan Najib