Konflik Sudan: Agong syukur rakyat kita selamat tiba di tanah air

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa sukacita dan syukur setelah 30 rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari Khartoum, Sudan ketika negara itu dilanda konflik telah selamat tiba di tanah air semalam.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia khususnya pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Sudan atas usaha dan kejayaan membawa pulang rakyat dengan segera demi keselamatan mereka.

“Seri Paduka Baginda merakamkan setinggi penghargaan kepada pemimpin dan Kerajaan Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan yang diberikan dalam operasi berkenaan.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan masjid-masjid yang melakukan solat hajat dan doa selamat bagi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu,” kata Istana Negara dalam kenyataan hari ini.

Kesemua 30 rakyat Malaysia termasuk Duta Besar Malaysia ke Sudan Mohamad Razdan Jamil yang berjaya dipindah keluar dari Khartoum selamat tiba di tanah air semalam.

Terdahulu mereka dipindahkan dari Khartoum melalui jalan darat ke Pelabuhan Sudan sebelum dibawa menaiki kapal tentera laut Saudi ke Jeddah pada 28 April lalu.

BACA JUGA: Konflik Sudan: 30 rakyat Malaysia selamat naiki kapal tentera laut Saudi ke Jeddah