Pelbagai tohmahan diterima, satu saja tidak disebut – “Anwar curi hak rakyat” – PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang telah melemparkan pelbagai tohmahan terhadap dirinya termasuk zalim dan menindas rakyat.
Namun Perdana Menteri menyatakan apa yang mereka tidak kata terhadapnya adalah “Anwar pencuri”.
“Mereka mendakwa Anwar zalim, dan menindas rakyat. Tetapi satu perkara yang mereka tidak sebut, Anwar mencuri hak rakyat.
“Dia tak sebut kerana itu hak dia,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Madani Kedah di Dataran Stargate, Alor Setar malam tadi.
Berucap di hadapan kira-kira 4,000 orang, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat tidak sesekali akan menyokong kerajaan terdahulu sekiranya mereka mengetahui tentang banyak urusan membabitkan pentadbiran berkenaan.
Beliau dipercayai merujuk kepada pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Terdahulu Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) hadir ke tapak perhimpunan tersebut kira-kira pukul 9 malam selepas hujan reda sebelum melancarkan trak Malaysia Madani.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Sementara itu, Saifuddin memberitahu bas dua tingkat tersebut bakal digunakan dalam jelajah kempen pilihan raya negeri (PRN) manakala dua trak yang memaparkan gambar Anwar akan digunakan dalam program penyampaian bantuan kepada rakyat Kedah.
Acara itu turut menampilkan persembahan daripada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search.
Program yang bermula pada sebelah petang itu dianjurkan Sekretariat Pakatan Harapan (PH) dan PH negeri menjelang Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan di Alor Setar hari ini.