PM Anwar ulangi tekad tamatkan kemiskinan tegar
Kerajaan Perpaduan menegaskan sekali lagi lagi tekadnya untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menyifatkan kemiskinan tegar adalah suatu yang mengaibkan bagi sebuah negara yang mempunyai kekayaan khazanah seperti minyak dan gas.
Antara negeri yang masih mencatatkan jumlah kemiskinan tegar yang tinggi adalah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Tanpa kecuali, kita akan pastikan masalah kemiskinan tegar akan dapat ditangani dengan baik dan di Kedah melalui program-program, Kerajaan Perpaduan MADANI akan menoktahkan jumlah kemiskinan tegar di seluruh negeri Kedah.
“Saya minta seluruh jentera kerajaan Persekutuan, jentera kerajaan negeri dan majlis perbandaran untuk membantu ke arah ini kerana adalah mengaibkan bagi negara yang mempunyai keupayaan dengan khazanah besar, minyak dan gas, kelapa sawit dan pelbagai industri (tetapi) tidak boleh menyelesaikan soal asas, yakni kemiskinan tegar dalam negara,” kata beliau, lapor Bernama.
Beliau berkata demikan ketika menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih sempena keberangkatan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Alor Setar hari ini.
Perdana Menteri berkata Kedah menerima tumpuan kerajaan Pusat yang memutuskan untuk memberikan peruntukan yang tinggi mencecah RM1.6 bilion tahun ini.
Beliau berkata jumlah itu tidak merangkumi beberapa langkah lain seperti bantuan sekolah dan klinik daif selain projek-projek bekalan air di beberapa daerah di Kedah.
“Baru-baru ini bila saya ke China ada cadangan untuk meningkatkan pelaburan di Kulim Hi-Tech Park dan untuk pengetahuan rakyat saya memberi jaminan untuk berikan kerjasama penuh bagi mempercepatkan proses itu.
“Insya-Allah dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berkenaan, ini akan dapat memacu pertumbuhan yang lebih bermakna di Negeri Kedah Darul Aman,” katanya.
Mengenai sambutan rumah terbuka hari ini, Anwar berkata program kali pertama diadakan secara besar-besaran bersama rakyat dihadiri oleh bukan sahaja menteri-menteri malah ramai duta dan pesuruhjaya tinggi, jumlah paling ramai di luar dari Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Majlis ini adalah untuk rakyat bersama dengan pimpinan, bagi menyatakan penghargaan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan kita tanpa mengira kaum, parti (politik) atau agama,” katanya.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.
BACA JUGA: Puluhan ribu rakyat Kedah hadir Rumah Terbuka Madani