Puluhan ribu rakyat Kedah hadir Rumah Terbuka Madani
Di sebalik pelbagai tohmahan pembangkang, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bagi siri pertama di Hotel Raia, Alor Setar hari ini mendapat sambutan puluhan ribu rakyat negeri Kedah.
Laporan media menyebut sekurang-kurangnya 10,000 orang membanjiri majlis itu setakat pukul 11 pagi tadi sekali gus menepis pelbagai kritikan terhadap usaha Kerajaan Perpaduan membawa majlis Aidilfitri Perdana Menteri ke negeri-negeri.
Sambutan hebat rakyat itu sekali gus membuktikan tradisi menjamu rakyat jelata sempena hari lebaran bukanlah satu bentuk pembaziran sebaliknya merapatkan lagi jurang antara pemimpin Pusat dengan penduduk negeri Jelapang Padi itu.
Majlis tersebut bagaikan mendapat restu apabila Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin Sultan Badlishah turut berkenan mencemar duli ke majlis tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di bilik jamuan VIP pada 10 pagi dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setakat jam 11 pagi, dianggarkan lebih 10,000 pengunjung hadir untuk menikmati jamuan disediakan di khemah tetamu selain untuk beramah mesra dengan kepimpinan Pusat.
Di pekarangan Hotel Raia didirikan sekurang-kurangnya lima khemah besar dengan meja dan kerusi untuk para pengunjung selain khemah lebih kecil di sekeliling kawasan tersebut.
Rakyat kelihatan gembira dijamu pelbagai juadah makanan.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor tiba di lokasi kira-kira pukul 10.37 pagi dan dilihat bersalaman serta bergambar dengan menteri-menteri Kabinet.
Sanusi juga berbual dengan Anwar dan beberapa anggota Kabinet semasa menunggu ketibaan Sultan Kedah yang tiba pada pukul 11 pagi.
BACA JUGA: Sanusi iringi Sultan Kedah, duduk semeja dengan PM Anwar
Â