Sanusi iringi Sultan Kedah, duduk semeja dengan PM Anwar
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi tiba kira-kira 10.30 pagi pada Majlis Rumah Terbuka Madani di Alor Setar sekali gus menamatkan teka-teki berhubung kehadiran ‘poster boy’ Perikatan Nasional (PN) itu dalam majlis rasmi kerajaan Persekutuan hari ini.
Dalam majlis Aidilfitri Perdana Menteri yang pertama kali di bawah ke negeri, Sultan Kedah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut.
Dalam foto yang disiarkan, Sanusi duduk semeja dengan baginda dan berhadapan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menjadi menteri pengendali majlis tersebut.
Sebelum itu, timbul pelbagai tohmahan dari pembangkang yang mendakwa majlis memberi makan kepada rakyat jelata sempena Aidilfitri itu sebagai satu bentuk pembaziran.
Sanusi yang juga wakil rakyat Jeneri sebelum ini mengesahkan kehadirannya ke majlis itu jika Sultan Salehuddin Badlishah mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.
Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil mengumumkan Sultan Sallehuddin berkenan menerima jemputan tersebut dan menghargai kesudian baginda untuk hadir memeriahkan lagi sambutan tersebut.
Perdana Menteri dipetik sebagai berkata Sanusi telah dijemput menghadiri majlis berkenaan dan ia selaras dengan protokol rasmi buat Menteri Besar Kedah itu untuk mengiringi Sultan Kedah dalam sebarang majlis.
Selain Kedah, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).