Pendirian konsensus Majlis Pakatan Harapan diutamakan

Presiden Parti AMANAH Negara Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan pendirian yang diambil secara konsensus oleh Majlis Pakatan Harapan perlu diutamakan berbanding keputusan parti ekoran daripada pendirian partinya yang merayu kepada Agong agar tidak memberi pengampunan kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International.

“Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR atau DAP yang bergabung di dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tertakluk kepada keputusan Pakatan Harapan yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti,” kata beliau yang juga ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini, keputusan di peringkat gabungan kerajaan Perpaduan mengatasi keputusan parti-parti atau pakatan politik masing-masing dan ianya perlu diutamakan.

“Pemimpin AMANAH berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Inilah ‘normal practice‘ dalam mana-mana organisasi.

Beliau berkata demikian ekoran dari tekanan yang muncul sejurus selepas Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad merayu agar Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan pengampunan.

Majlis Tertinggi Umno pula membuat keputusan menyokong permohonan pengampunan.

Lembaga Pengampunan pula mengesahkan bahawa kes Najib tidak dibincangkan.

Berbeza dengan Amanah, PKR dan DAP tidak mengambil pendirian dalam kes ini.

Mohamad turut menekankan bahawa keputusan sekarang terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong dan apa saja keputusan baginda perlu dihormati.

“Dalam kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong. Maka semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Mohamad turut menambah bahawa beliau sedar bahawa pihak yang menyuarakan pandangan dalam kes ini menyayangi Kerajaan Perpaduan.

Walaubagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan.