10 inisiatif terbaik kerajaan PH Selangor khas buat rakyat

Usaha kerajaan untuk membantu meringankan bebanan rakyat tidak pernah putus dari tahun ke tahun. Ini juga dapat dilihat dari bantuan yang disediakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor, khas kepada rakyat negeri itu.

Terdapat pelbagai bentuk bantuan yang boleh dipohon oleh rakyat Negeri Selangor, khususnya mereka yang datang dari golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah. Dari bantuan kewangan ke bantuan untuk membeli rumah, semua inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Selangor adalah untuk membuktikan komitmen mereka dalam membawa Negeri Selangor ke arah yang lebih baik.

Walaupun Selangor dikatakan sebagai “kubu kuat” Pakatan Harapan sejak Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional pada tahun 2008, kepimpinan negeri nampaknya sentiasa memastikan kebaijkan rakyat Selangor terus terjaga dengan memperkenalkan dasar-dasar baharu yang sudah tentu akan memberi kelebihan buat rakyat di negeri tersebut.

Terdapat pelbagai inisiatif rakyat telah diperkenalkan sejak beberapa tahun Pakatan Harapan menerajui Selangor. Antara inisiatif besar di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang sangat memanfaatkan rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari ialah:

1) Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)
BINGKAS merupakan bantuan kewangan berjumlah RM300 sebulan dan RM3,600 setahun yang diberikan kepada rakyat Selangor untuk tujuan membeli barangan keperluan, bayaran yuran sekolah serta tuisyen dan taska dan pembelian barangan kelengkapan persekolahan. Bantuan ini sekaligus dapat mengurangkan beban kewangan khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

2) Skim Air Darul Ehsan (SADE)
SADE adalah program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Negeri Selangor warganegara Malaysia dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah. Inisiatif ini telah memanfaatkan hampir 800,000 rakyat Selangor.

3) Jom Shopping Perayaan
Inisiatif pemberian bantuan berbentuk baucar bernilai RM100 kepada golongan B40 bersempena perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali diwujudkan untuk meringankan beban rakyat selain memeriahkan lagi sambutan perayaan khasnya bagi golongan yang kurang bernasib baik.

4) Roda Darul Ehsan (RiDE)
RiDE merupakan bantuan berbentuk subsidi lesen motor khas buat golongan belia yang terlibat dalam industri P-Hailing selain pemberian tambahan caruman PERKESO. Bantuan ini bertujuan untuk meringankan lagi beban belia, menggalakkan belia untuk terlibat dalam industri P-Hailing dan menjana sumber pendapatan anak muda.

5) Jualan Ehsan Rakyat
Dalam mendepani cabaran ekonomi semasa, Kerajaan Negeri Selangor di bawah inisiatif Jualan Ehsan Rakyat telah melaksanakan program jualan barangan keperluan dengan harga lebih rendah. Enam jenis barangan uatama iaitu ayam, telur, daging, beras, ikan dan minyak masak dijual dengan harga 30% lebih rendah dari pasaran. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM12 juta untuk subsidi barangan tersebut.

6) Iltizam Anak Selangor
Iltizam Anak Selangor merupakan bantuan dalam bentuk caruman yang diberikan kepada anak-anak yang baru lahir di Negeri Selangor sebanyak RM100 setiap tahun selama 5 tahun yang akan dimasukkan menerusi akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime. Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan 30,000 orang anak-anak yang baru lahir di Negeri Selangor mendapat manfaat ini.

7) Pusat Kehidupan Berdikari (ILC)
ILC adalah sebuah pusat khusus yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan latihan pekerjaan dan pemberdayaan kepada golongan OKU sasar bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan bekerja serta hidup bersama masyarakat tanpa rasa terasing.

8) Dana Usahawan Mikro Selangor
Inisiatif ini berbentuk pemberian bantuan perniagaan seperti peralatan bernilai sehingga RM30,000.00 khas buat anak Selangor bagi membantu usahawan-usahawan Industri Mikro meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya saing. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan mendapat manfaat daripada bantuan ini.

9) Bas SMART Selangor
Inisiatif bas secara percuma ini khas untuk mereka yang tinggal di kawasan Selangor bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai lagi menggunakan pengangkutan awam selain untuk meringankan beban kewangan bagi yang kurang berkemampuan dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk.

10) Skim Rumah Selangorku
Kerajaan Negeri Selangor cakna dengan isu pemilikan rumah yang semakin melambung tinggi harganya. Oleh itu, mereka telah memperkenalkan Skim Rumah Selangorku dengan menawarkan kediaman mampu milik pada harga yang berpatutan terutamanya kepada pembeli pertama yang masih belum memiliki kediaman di negeri Selangor. Rumah Selangorku adalah skim perumahan yang direka untuk menyokong golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana di Selangor.

Iltizam Selangor Penyayang bermula Julai 2022 adalah kesinambungan polisi dan program Negeri Selangor yang mengutamakan kebajikan rakyat melalui manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu meringankan beban rakyat. Inilah bukti komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pemimpin negeri dalam mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.