Ada komplot nak jatuhkan kerajaan, Anwar kata “jangan layan pengigau”
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sememangnya wujud konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, namun menegaskan ia sebagai tidak berasas.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, biarkan kumpulan dipanggil “pengigau” itu berterusan merancang komplot sebaliknya kerajaan akan terus menumpukan kerja utama terhadap negara.
“Komplot ada tetapi tidak ada asasnya, kita tumpu kerja. Kalau dia (pengkomplot) tak ada komplot, dia kerja apa? Maknanya dia jalankan tugas dia, setiap bulan dia ada strategi.
“Jadi, kita tumpu kerja dan jangan layan pengigau-pengigau,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Sambutan hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Tema sambutan Hari Pekerja pada tahun pertama kerajaan diterajui Anwar ini ialah ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’.
Sementara itu, ketika beliau berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulangi pendiriannya mengenai jenayah rasuah dan kebobrokan dalam kalangan pemimpin.
Tegasnya, ada yang menuduh beliau sebagai pendendam hanya kerana tindakan yang diambil terhadap perasuah-perasuah.
“Ada yang katakan tindakan ini dendam. Apa dendam? Kamu curi ratusan juta ringgit, kita ambil tindakan, (kemudian) kata kita dendam. Nasib saya ini PM jadi bahasa saya kena kawal sedikit.
“Ada guna kelangsungan hidup Melayu, perpaduan Melayu kemudian guna agama Islam tapi pertahankan sistem yang korup dan orang-orang yang korup.
“Ada mereka bicara nasib pekerja? Ada dengar mereka suarakan nasib pekerja penjawat awam dan pekerja di sesetengah kilang itu tidak munasabah? Tak pernah dengar,” tempelaknya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan pihak terbabit sebaliknya mendesak kerajaan mempertahankan kleptokrat.
“Yang mereka buat, pertahankan. (Gesa kerajaan) jangan dendam, jangan zalim, jangan bertindak ke atas perasuah dan penyamun besar dalam negara kita,” katanya lagi.
BACA JUGA Penyokong PN sebar kenyataan palsu Siti kritik Himpunan Madani Kedah