Ikan, telur dijual pada harga terkawal
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sumber makanan seperti ikan dan telur mudah untuk didapati dan dijual pada harga yang terkawal.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu berkata, situasi tersebut berdasarkan tinjauan beliau bersama beberapa kakitangan kementerian tempoh hari.
“Saya juga sempat berborak dengan beberapa orang suri rumah yang sedang membeli-belah mendapati tiada sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka untuk mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Dalam masa sama, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, pihak KPKM sentiasa memantau situasi terkini dalam memastikan sumber makanan negara sentiasa cukup dan terjamin.
Reaksi orang ramai juga rata-ratanya menyifatkan harga barangan mentah seperti ikan dan telur stabil sepanjang musim perayaan ini.
Sebelum ini, wujud kekurangan telur di pasaran serta dalam masa sama kenaikan harga bekalan makanan itu.
BACA JUGA Amerika pun hadapi masalah telur tapi Malaysia jamin bekalan cukup – Mat Sabu