Indeks Kebebasan Akhbar 2022: ‘Pencapaian yang membanggakan buat negara’
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) adalah pencapaian yang baik.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menerusi ciapan di Twitter rasminya hari ini berkata, kedudukan Malaysia ke-113 iaitu naik enam anak tangga berbanding sebelum ini adalah membanggakan.
“Ini pencapaian yang baik dan membanggakan buat negara.
“Ia juga menjadi pemangkin untuk kita terus memartabatkan kebebasan media di Malaysia,” ciapnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kementerian diterajuinya bersama pengamal media sedang meneliti draf Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
“InsyaAllah, akan ada beberapa pengumuman baik buat para pengamal media menjelang Hari Wartawan Nasional (Hawana),” katanya lagi.
Mengikut Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022, Malaysia mengumpul skor 51.55 dan merupakan jumlah yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Malaysia mendahului Thailand (115), Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176).