Kerajaan beri komitmen kaji upah penjawat awam, seru hapuskan rasuah bersama

Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan meneliti dan mengkaji semula upah penjawat awam yang disifatkan masih di tahap tidak memuaskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui gaji untuk penjawat awam di peringkat rendah dan menengah belum mencapai tahap yang sewajarnya, namun kerajaan berusaha untuk memenuhi tuntutan para pekerja.

“Saya memang tahu upah penjawat awam tidak memuaskan (jadi) susah tiba masanya kita buat penilaian dan kajian semula. Ini jaminan saya dan kita akan bagi komitmen.

“Kita ambil alih (negara) dalam keadaan kewangan yang sangat parah, hutang RM1.5 trilion. Sebahagiannya kerana iklim ekonomi, sebahagiannya kerana rompakan dan porak peranda sistem negara.

“Sebab itu saya katakan kalau mahu ekonomi berkembang, kalau mahu hasil bertambah kita kena lawan dan hapuskan perasuah-perasuah besar ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Pada masa sama, kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, dalam usaha kerajaan membanteras rasuah dan meminimumkan pembaziran, kerajaan akan memastikan wujudnya trend peningkatan terhadap hasil kerajaan.

Jika trend tersebut berterusan meningkat, dalam tempoh satu tahun, ujarnya, upah penjawat awam akan segera diberi keutamaan.

“Beri saya tempoh satu tahun. Untuk penjawat awam, kalau ada trend peningkatan hasil, yang utama adalah upah penjawat awam.

“Sementara itu, segala bonus dan apa-apa kemudahan kesihatan, pendidikan yang harus kita bantu, saya akan segerakan sebaik ada peruntukan. Itu sudah saya jamin, jangan bimbang,” katanya.

BACA JUGA Agong ucap Selamat Hari Pekerja