Khalid sambut baik pelawaan Zahid, akan jumpa segera
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menyambut baik jemputan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bertemu dan berbincang supaya tidak lagi akan ada kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain.
Beliau sangat bersetuju dengan saranan Zahid perlunya berfikiran sebagai pihak kerajaan bukannya masih dalam kepompong pemikiran pembangkang.
“Sebagai kerajaan, kita akan memberikan fokus untuk membantu rakyat bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan menghasilkan pentadbiran yang bersih dan cekap.
“Bolehlah saya sampaikan rayuan peserta program Kesedar di Rantau Manis, Gua Musang dalam pertemuan itu.
“Program ini dihentikan Kesedar dan peserta memohon keputusan itu dikaji balik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menyambut baik kenyataan Zahid agar pemimpin blok kerajaan memberikan tumpuan kepada persamaan antara mereka bukannya menonjolkan perbezaan.
“Saya sangat setuju dengan syor ini kerana tiada manfaat bila dikorek perbezaan antara kami. Malahan ianya boleh mendatangkan mudarat kepada kerjasama yang diusahakan.
“Persamaan antara kami adalah perjuangan untuk menghasilkan masyarakat madani, mendokong politik rahmah dan berusaha membantu golongan miskin dan memansuhkan wujudnya golongan miskin tegar.
“Sambil itu perjuangan menentang ekstrimisme agama dan kaum yang dibawa PN (Perikatan Nasional) perlu juga diutamakan,” tambah Khalid lagi.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan merayu agar Yang di-Pertuan Agong menolak pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ekoran itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap AMANAH sebagai tidak layak menjadi rakan seperjuangan.
Umno Kelantan pula menggertak untuk tidak bekerjasama dalam pilihan raya negeri.
Sementara itu, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam reaksinya berkata, pandangan Khalid berhubung isu Najib itu tidak mewakili AMANAH kerana sebarang keputusan rasmi hanya diputuskan dalam mesyuarat
BACA JUGA Maafkan kami, pendirian parti berbeza dari Umno