Penyokong PN sebar kenyataan palsu Siti kritik Himpunan Madani Kedah

Tular satu tangkap layar palsu didakwa cuba mengaitkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kononnya mengkritik program Himpunan Madani di Kedah pada 28 April lalu.

Tangkap layar palsu itu dilihat banyak dikongsi penyokong Perikatan Nasional (PN) dalam cubaan mencemarkan imej penyanyi tersebut dalam kalangan penyokong kerajaan perpaduan.

Menerusi kenyataan palsu itu, Siti memuat naik status mengatakan beliau hadir ke program Himpunan Madani hanya untuk memeriahkan majlis, dan tidak menyangka majlis itu berbaur politik.

Namun, penyanyi Nazam Lebaran terbabit kononnya menulis bahawa beliau tetap menghormati rakyat di Kedah tanpa mempunyai niat politik.

Siti bagaimanapun kemudiannya memuatnaik penjelasan di Instagram Story, menegaskan bahawa tangkap layar tular itu adalah palsu.

Bahkan, hasil semakan Harapan Daily di Facebook rasmi penyanyi yang telah memenangi lebih 300 anugerah dan penghargaan daripada dalam dan luar negara itu, mendapati tiada sama sekali hantaran sedemikian yang turut menyokong kerajaan negeri Kedah.

Warganet juga mendapati ia palsu dan bertujuan memburukkan imej Siti dalam kalangan penyokong kerajaan.

“Siapalah yang pandai-pandai edit berita palsu ini, gunakan nama Facebook saya yang ‘verified’, dan sebarkan merata-rata, dan yakinkan orang ini posting sebenar.

“Ini palsu. Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini. Saya ini penyanyi, hiburkan semua orang. Bulan Syawal ini, bulan jalinkan silaturahim bukan sebar-sebar berita palsu,” nasihat Siti.

Pada masa sama, isu tersebut turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang amat bertegas dalam soal penyebaran berita palsu.

Kata Fahmi, tangkap layar itu telah dijadikan bahan politik dan beliau mengingatkan semua pengamal media untuk sentiasa mengesahkan bahan berita sebelum menerbitkannya.

“Malangnya berita palsu ini tersebar sejak semalam dan telah menjadi fitnah yang merebak jauh ke pelbagai komuniti. Malah ada yang percaya, dan ada juga yang jadikannya bahan politik.

“Rakan-rakan media diingatkan agar sentiasa mengesahkan info dan sumber sebelum menerbitkan berita supaya tidak timbul isu seperti ini.

“Tindakan undang-undang juga boleh diambil oleh agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran,” ujarnya.

Pada 28 April lalu, berlangsungnya Himpunan Madani diikuti keesokannya dengan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, Alor Setar.

Selain Siti, program yang dihadiri ribuan rakyat negeri Jelapang Padi itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi Datuk Amy Search.

BACA JUGA Kenyataan media tentang Zahid di Himpunan Madani palsu – AMK Kedah