Festival Turath Islami Selangor sasar 2,500 penyertaan, tampil tokoh ulama

Kerajaan negeri Selangor menyasarkan kehadiran seramai 2,500 orang dalam penganjuran Festival Turath Islami Selangor yang bermula dari 20 hingga 25 Mei ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebagai langkah membuka peluang kepada rakyat Selangor dan Malaysia meraih manfaat daripada perbincangan kitab, festival itu akan menampilkan tokoh ulama antarabangsa tersohor, Syeikh Dr. Ali Jum’ah yang juga bekas Mufti Agung Mesir.

“Festival ini juga akan menghimpunkan tokoh-tokoh yang berpengaruh dan terhormat di rantau ini dalam bidang mereka seperti Prof. Dr. Aqil Siroj, Dr. Nadirsyah Hosen, serta Baba Ismail Sepanjang dan Baba Hj Ghazali Ahmad dari negara-negara jiran,” katanya dalam kenyataan.

Pelancaran majlis Turath Islami Selangor disempurnakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Shah Alam pagi semalam.

Amirudin berkata festival itu akan mengangkat perbincangan dan penghayatan tentang kitab Ihya’ ‘Ulumudin, karya Al-Ghazali sekali gus menandakan permulaan terjemahan 10 jilid kitab tersebut buat kali pertamanya dalam Bahasa Melayu.

Beliau menjelaskan festival itu merangkumi tujuh komponen termasuk Daurah Afkar Ihya’ ‘Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya’ ‘Ulumuddin, serta interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan, ahli akademik, graduan universiti dan disempurnakan dengan program Muzakarah Ulama Umara.

Katanya, festival ini akan dijayakan hasil kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Amirudin Shari dan Media Selangor.

“Saya harap usaha ini dapat menyemarakkan kegiatan keilmuan serta membangkitkan kehangatan ilmu kepada segenap penganut Islam di Malaysia,” katanya.

Pendaftaran program ini boleh dibuat secara dalam talian dan untuk maklumat selanjutnya, sila layari https://www.turathislamiselangor.com/