Imam, bilal, siak, guru takmir, KAFA Selangor dapat peruntukan RM56.5 juta
Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan peruntukan kewangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tahun 2023 untuk negeri Selangor, hari ini.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, peruntukan berjumlah RM56,412,369.60 adalah merupakan imbuhan tahunan dan elaun kepada 11,558 bagi guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), imam, bilal, siak dan guru takmir seluruh Selangor.
Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah mempersembahkan peruntukan itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang Selangor.
“Perincian peruntukan ini adalah bagi pembayaran imbuhan sebanyak RM850 (sebulan) kepada 752 imam, elaun sebanyak RM900 (sebulan) kepada 242 guru takmir, dan elaun sebanyak RM1,261.35 (sebulan) kepada 2,800 guru Kafa.
“Selain itu, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM232.80 (setahun) kepada 2,482 imam, bilal, siak dan guru takmir.
“Peruntukan ini juga termasuk bayaran khas ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada 752 imam, 1,488 bilal dan siak serta 242 guru takmir dan 2,800 guru Kafa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, peruntukan kewangan Jakim kepada negeri Selangor itu adalah sebahagian daripada jumlah RM1.5 bilion bajet pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam tahun 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Februari lalu.
“Semoga dengan peruntukan tersebut, pengurusan hal ehwal Islam di negara ini akan dapat terus diperkasakan bagi membina generasi Al-Falah (berjaya) yang berkualiti selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Gabungan PH+BN boleh menang bergaya di Selangor