Kelantan, Terengganu diramal hujan lebat, ribut petir

Kelantan dan Terengganu diramalkan menerima hujan lebat dan ribut petir hingga jam 1 petang, hari ini.

Amaran keadaan cuaca itu di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Di Terengganu pula, kawasan yang terkesan adalah di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir.

Amaran ribut petir juga dikeluarkan apabila wujud kemungkinan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata METMalaysia lagi.

Sebelum ini, Kelantan mengalami cuaca panas melampau sehingga menyaksikan dua kes kematian akibat strok haba membabitkan seorang bayi perempuan berusia 19 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Bulan lalu, cuaca dan bahang panas sangat ketara di Kelantan terutama sekitar waktu tengah hari sehingga jam 4 petang dengan tiada hujan langsung.

Layari laman sesawang MetMalaysia di https://www.met.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai keadaan cuaca.

BACA JUGA Dengan cuaca hujan panas, mustahil jalan 300 km cuma melecet kaki – Pelari jarak jauh