Lagi kanak-kanak meninggal akibat strok haba
Seorang lagi kanak-kanak lelaki meninggal dunia di Kluang, Johor kira-kira pukul 7 pagi semalam dipercayai akibat strok haba.
Bapa mangsa Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya Airiel Syahren, 12, disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat “septic shock secondary to meningoencephalitis” di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Beliau menceritakan pada mulanya Airiel dan adik lelaki berusia sembilan tahun serta ibu mereka mengalami demam biasa dan hanya mengambil ubat.
“Saya meminta mereka tidur di ruang tamu kerana bilik itu sejuk sebelum terdengar seperti ada benda jatuh. Saya kemudian mendapati anak kekejangan.
“Saya terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan ambulans. Pada masa itu keadaan anak meronta-ronta dan adiknya juga begitu tetapi sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bentong, Kluang, lapor BH.
Syahrol Azmi menyatakan anaknya sebelum itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, serta muntah, kira-kira 10 malam kelmarin.
Katanya, doktor turut menjelaskan simptom strok haba dialami anaknya menyebabkan buah pinggangnya terjejas serta keradangan otak.
“Anak saya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong mana anakala anak ketiga, Aidil Syahren, 9, pula disahkan stabil dan masih berada di wad,” katanya.
Sebelum ini laporan menyebut satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun manakala kematian bayi berusia 19 bulan di negeri itu bukan disebabkan strok haba.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah heat stroke with severe dehydration.
Kematian bayi berusia 19 bulan pula disebabkan severe dehydration with underlying sepsis, katanya.
Setakat 28 April lalu terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan, dengan tiga kes dilaporkan di Sarawak melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.
Jelas Dr Radzi, gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual dan keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma.
BACA JUGA: Fenomena cuaca panas: Ketahui bagaimana gelombang haba terjadi untuk elak strok haba