Machiavelli pun kagum dengan kesungguhan PN berebut kuasa

Oleh KHALID ABD SAMAD

Baru-baru ini terdengar kuliah seorang bergelar ustaz di media sosial. Dia menyebut budaya politik yang diamalkan di Malaysia adalah politik ala Barat, iaitu politik merebut kuasa.

Politik Islam, as-siyaasah, katanya, adalah berhubung pengurusan dan pentadbiran negara, bukan rebutan kuasa.

Politik rebut kuasa, tambah beliau, tiada kena mengena dengan Islam, walaupun pertubuhan yang terlibat bernama ‘Islam’.

Berdasarkan apa yang dikatakannya, saya teringat ahli falsafah barat bernama Machiavelli dan bukunya bertajuk ‘The Prince’.

Beliau mentakrifkan politik itu sebagai “a naked struggle for power”, atau persaingan tanpa segan silu untuk mendapatkan kuasa.

Apa sahaja sanggup dilakukannya untuk kuasa termasuklah memfitnah, menipu, merasuah, khianat, malahan membunuh sekalipun, asalkan kuasa itu diperolehi.

Malangnya kita lihat, inilah budaya politik yang ingin disemai di Malaysia oleh Perikatan Nasional (PN) yang terdiri dari Bersatu dan Pas.

Keterlibatan Bersatu dalam usaha menyuburkan budaya politik seperti ini tidak menghairankan. Mereka tidak pernah mendakwa mereka membawa politik berakhlak atau bernilai tinggi.

Mereka juga merupakan pengasas politik tebuk atap dan pintu belakang yang tidak tahu malu. Siapa boleh lupa istilah kebanggaan ‘Abahcow’ iaitu “scheme of things”? Kabinet diperluaskan dan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diagih sebagai sogokan demi sokongan dan kesetiaan.

Akan tetapi, apabila Pas sendiri terlibat dalam budaya politik Machiavelli ini dan bangga dengan pengamalannya, sehingga sanggup mentakrifkan rasuah politik sebagai ‘sadaqah’, ianya amat mengecewakan.

Amalan fitnah menjadi kebiasaan sehingga digelar parti pemfitnah oleh sebahagian masyarakat dan apabila disaman dan didapati bersalah, boleh dengan tersengih meminta maaf dan terus mengulangi fitnah berkenaan!

Walaupun dibayar jumlah pampasan yang ditentukan mahkamah, itu untuk pelepasan di dunia. Adakah mereka anggap mereka akan terlepas dengan begitu mudah di akhirat? Atau dah tak ingat akhirat kerana inginkan kuasa? Atau dianggap fitnah itu halal kerana mereka, kononnya, parti Islam?

Politik sebegini perlu ditolak rakyat dan siyaasah dalam pemahaman yang sebenar, iaitu mentadbir dan mengurus dengan baik, atau good governance perlu dijadikan tumpuan dalam pemahaman politik rakyat negara.

Dalam ertikata lain, semasa berpolitik dan membuat pilihan semasa pilihan raya, persoalannya adalah golongan manakah yang akan mentadbir negara dan negeri dengan baik dan berkesan membantu rakyat.

Bukan soal mana satu Islam dan mana satu musuh Islam seperti sering dimainkan oleh Pas dan diikuti Bersatu. Budaya politik yang memperalatkan agama sebegini adalah sebahagian budaya politik Machiavelli, kerana agama diperalatkan demi mendapat kuasa.

Tahniah dan terima kasih kepada GPS kerana menolak sogokan

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas kebijaksanaan mereka menolak tawaran yang dibuat Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan bersama di peringkat pusat.

Ini adalah langkah bijak GPS walaupun jawatan Perdana Menteri menjadi milik mereka jika menerima tawaran itu. Ini adalah berdasarkan laporan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang membuat dakwaan bahawa PN menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada GPS jika mereka sedia bersama PN membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Jika benar adanya tawaran untuk melantik Perdana Menteri dari GPS jika mereka menerima tawaran untuk membentuk kerajaan pusat bersama PN, tindakan GPS adalah satu tindakan yang bijak dan berpandangan jauh.

Kita yakin, GPS menolak pendekatan politik ‘scheme of things’ yang menawarkan apa sahaja untuk membolehkan PN membentuk kerajaan semula. Saya bagi pihak AMANAH yang merupakan komponen PH mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kebijakan GPS ini.

Kita tahu bahawa PN, khasnya Bersatu, akan membuat apa saja untuk kembali berkuasa termasuk mengamalkan kembali budaya ‘scheme of things’ sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dalam mesyuarat Bersatu seperti terdedah melalui satu audio tular sebelum ini.

GPS tahu, jika mereka menerima tawaran itu, mereka hanya terperangkap dalam politik PN yang mahu kembali berkuasa mengikut pintu belakang.

Kesanggupan menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai bahan sogokan amat sangat memeranjatkan. Sudah pasti Machiavelli sendiri akan kagum dengan kesungguhan PN mendapatkan kuasa dengan apa cara sekalipun.

Baru-baru ini, Datuk Lokman mendakwa adanya pula usahasama Tun Daim dan Tun Mahathir bersama pemimpin PN untuk mendapatkan 15 Ahli Parlimen BN untuk letak jawatan dan bertanding kembali, mungkin atas logo PN, semasa PRN ke 15 tidak lama lagi.

Dengan sokongan kewangan dari Tun Daim khususnya, Ahli-Ahli Parlimen ini didakwa sanggup melakukannya walaupun akan menghadapi risiko kalah apabila bertanding atas logo PN. Ini juga satu contoh politik Machiavelli yang diamalkan PN.

Rakyat perlu memahami bahawa sekiranya corak politik sebegini disokong maka negara kita akan hancur kerana golongan berkuasa melihat dan mengamalkan politik untuk berkuasa, bukan untuk mentadbir dan mengurus negara dengan baik demi kepentingan rakyat.

 

*KHALID ABD SAMAD merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan serta mantan Ahli Parlimen Shah Alam. 

BACA JUGA PN gagal jadi pembangkang konstruktif, hanya main retorik kaum dan agama