Noh Omar tidak relevan, sukar gugat PH di Selangor

Pakatan Harapan (PH) tidak akan tergugat sekiranya bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar  bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha PH Selangor Borhan Aman Shah berkata strategi Perikatan Nasional (PN) mahu menggunakan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu tidak akan berkesan kerana beliau tidak lagi relevan dengan situasi politik semasa.

Malah katanya rekod pentadbiran PH yang baik sejak mengambil alih Selangor pada 2008 menyukarkan lagi untuk Noh membantu PN menawan negeri itu.

“Di negeri Selangor memang ramai kita dengar PN akan letakkan calon ‘heavyweight’ termasuk Noh Omar untuk bertanding pada PRN.

“Itu adalah hak mereka (PN) untuk mencalonkan sesiapa dan kita tidak boleh menghalang tetapi sebagai kerajaan sedia ada sekarang ini, sudah pasti kita akan mempertahankannya daripada jatuh kepada mereka (PN),” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Borhan yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri berkata percaturan PN itu dilihat tidak akan memberi nilai tambah di Selangor sekali gus membantutkan hasrat mereka untuk menawan negeri itu dalam PRN.

Dalam pada itu, pemimpin pembangkang turut dialu-alukan untuk bertanding di Selangor dan PH yakin dengan gerak kerja jentera pilihan raya akan mampu menewaskan beberapa nama besar di negeri itu.

“PH akan pastikan jentera parti dapat bergerak semaksimum yang boleh untuk memberikan tentangan kepada mereka sehingga tersungkur,” katanya yang wakil rakyat Tanjong Sepat.

Tambah Borhan, beliau berpandangan sentimen pengundi di Selangor adalah berbeza berbanding negeri di bawah pentadbiran PN.

Terdahulu, Noh mengesahkan akan bertanding di Selangor di bawah tiket PN pada PRN tidak lama lagi.

Pada 28 Januari lalu, Umno menggantung keahlian Noh disebabkan 16 pertuduhan dihadapinya kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15.

BACA JUGA: PRN: Gagasan Kerajaan Perpaduan jadi formula kesepakatan PH-BN