Polis buka dua kertas siasatan perhimpunan belon kuning
Polis telah membuka dua kertas siasatan berkaitan perhimpunan “Gerakan Rakyat” dan sidang media yang diadakan oleh sekumpulan penyokong pembangkang di ibu negara semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata dua perhimpunan itu diadakan antara pukul 10 pagi dan tengah hari semalam di hadapan bangunan Maju Junction.
Beliau memberitahu kumpulan itu kemudian berarak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak ke Jalan Leboh Ampang manakala selebihnya diadakan di depan kompleks Sogo.
Beliau berkata polis mendapati sekitar 200 menyertai perarakan di depan Maju Junction dan sekitar 30 orang terlibat berhimpun di depan Sogo.
“Susulan itu, polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5), Akta Perhimpunan Aman 2012 dan penganjur kedua-dua perhimpunan itu dipanggil ke IDP Dang Wangi untuk direkodkan keterangan.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan.
Noor Dellhan menasihatkan orang awam agar tidak terliba dalam perhimpunan yang melanggar peruntukan undang-undang bagi mengelakkan pendakwaan.