Rakyat Selangor tidak termakan dakyah agama, kaum dimainkan Pas
Pas digesa untuk menyelesaikan terlebih dahulu segala isu berbangkit yang berlaku di Kedah, Kelantan dan Terengganu sebelum memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata, beliau cukup yakin dengan rakyat Selangor yang tidak mudah termakan dengan dakyah atau retorik agama dan perkauman yang sering dimainkan Pas.
Katanya, taktik seumpama itu tidak lagi memberikan kesan untuk mendapatkan sokongan pengundi di negeri paling maju itu.
“Kalau sekadar mengeluarkan kenyataan politik bersifat sentimen perkauman dan agama untuk memikat hati pengundi, saya yakin pengundi Selangor tidak akan termakan taktik tersebut.
“Selama tiga penggal Pakatan Harapan (PH) memegang negeri Selangor, rakyat dapat rasai keikhlasan kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Perikatan Nasional (PN) meletakkan sasaran untuk memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada PRN yang akan datang, sekali gus gabungan itu dikatakan mampu membentuk kerajaan di negeri itu.
Membidas kenyataan Roslan itu, Wei Kiat berkata, umum mengetahui bahawa PN hanya berniat untuk membuat kacau di negeri yang dikuasai PH.
“Selain menyasarkan kemenangan di 33 kerusi DUN dan berkehendak menarik 20 peratus pengundi bukan Melayu, PN tidak dapat memberitahu pengundi Selangor, apa hala tuju mereka selain mengulangi fitnah dan memohon maaf kepada pemimpin PH.
“Sebelum ini juga, hasil kaji selidik firma penyelidikan bebas, IPSOS (Ipsos Global Advisor) menunjukkan peningkatan keyakinan rakyat terhadap hala tuju keadaan ekonomi Malaysia, iaitu 53 peratus pada 2023 berbanding 38 peratus pada 2022,” hujahnya.
Jelas Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, peratusan berkenaan menduduki di kedudukan keempat dalam 36 buah negara yang terlibat dalam penyelidikan berkenaan.
Menurutnya, 62 peratus rakyat Malaysia semakin yakin terhadap keputusan dan hala tuju dasar ekonomi apabila mencatatkan kedudukan ketiga dalam senarai 26 negara itu.
Tambahnya lagi, rakyat dan pelabur telah hilang keyakinan terhadap pemimpin negara selepas peristiwa Langkah Sheraton yang turut membawa bersama ketidakstabilan politik.
“Tapi dapatan IPSOS menunjukkan keadaan sudah berubah setelah Kerajaan Perpaduan mengambil alih Putrajaya.
“Kerajaan Perpaduan terbukti telah berjaya menjaga kebajikan, perumahan, kesihatan dan nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” tambah beliau lagi.
BACA JUGA ADUN Rawang hiasi Syawal dengan aktiviti ziarah kasih
Â