Angka 126… propaganda murahan, bukti PN mabuk kuasa – AMK

Propaganda Perikatan Nasional (PN) bahawa Kerajaan Perpaduan tidak mampu bertahan lama dan bakal ditumbangkan hanya satu taktik politik murahan yang menunjukkan gabungan itu sedang mabuk kuasa.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subbramaniam berkata pemimpin PN hanya memikirkan bagaimana mahu merebut kuasa sehingga sanggup menggadai prinsip negara.

THIBAN SUBBRAMANIAM

M Menurut Thiban, tindakan berterusan PN yang membangkitkan isu bersifat retorik semata-mata adalah bertujuan untuk menghakis kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan sahaja.

“Cukup-cukuplah PN untuk menjadi kerajaan ‘tebuk atap’, berusahalah untuk menjadi pembangkang yang baik supaya kestabilan dan kemakmuran negara dapat dikecapi secara bersama.

“Gelombang kebangkitan rakyat menyokong Kerajaan Perpaduan sebagai kerajaan terbaik semakin terasa menerusi sokongan yang dizahirkan pada setiap program kerajaan di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman memuat naik catatan di Facebooknya dengan menulis ‘126 dah…jika benar Alhamdulillah’.

Hantaran itu menimbulkan persoalan termasuk ada pihak mengaitkan angka itu sebagai jumlah Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.

Terdahulu Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan menafikan dakwaan terdapat ahli Parlimen dalam kalangan parti komponennya terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Thiban berkata rakyat kini sedang bergelut untuk keluar daripada pelbagai masalah yang membelenggu kehidupan seharian tetapi PN terus-menerus mahu menumbangkan kerajaan sedia ada.

Beliau juga Ketua Cabang PKR Kuala Selangor berharap rakyat yang semakin matang dalam berpolitik dapat menunjukkan isyarat penolakan kepada PN yang mahu merebut kuasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Rakyat akan membuat pilihan bijak dalam PRN di enam negeri dengan menilai prestasi semasa dan komitmen yang ditunjukkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya yakin rakyat akan membuat keputusan bijak, apa yang diusahakan PM dalam tempoh beberapa bulan ini adalah menjadi faktor penting untuk rakyat memberikan keputusan awal mereka,” katanya.

Tambahnya, segala tindak-tanduk dan usaha yang dilakukan oleh PN diyakini tidak akan mampu menggugat kestabilan kerajaan yang wujud pada hari ini.

BACA JUGA: Machiavelli pun kagum dengan kesungguhan PN berebut kuasa