Bainun bersalah abai, aniaya remaja sindrom Down

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella.

Pembelaan Siti Bainun bukan saja tidak boleh dipercayai dan diterima mahkamah, malah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, kata Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi.

Bagaimanapun, hakim memberi peluang kepada peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, untuk merayu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 yang ketika itu berusia 13 tahun hingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia yang pernah menerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2016 itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Pertuduhan tersebut membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Mona Din dalam reaksinya sebentar tadi bersyukur kerana keadilan berpihak pada Bella.

“Terima kasih Ya Allah. Syukur Ya Allah. #JusticeForBella akhirnya terlaksana,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Mona yang juga usahawan merupakan sukarelawan Rumah Bonda. Beliau sempat menjaga Bella selama kira-kira empat bulan dan menyifatkan remaja OKU itu sebagai sangat rajin termasuk menjaga bayi Sindrom Down dengan penuh kasih sayang.

Mona juga dilapor mendedahkan bahawa Bella merupakan anak yang patuh kepada waktu solat serta rajin melipat kain dan mengemas rumah.