Dwirangkaian 5G diperkenal tahun depan, tamatkan unsur monopoli – Fahmi

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek rangkaian 5G melalui Digital Nasional Berhad (DBN) sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan dwirangkaian 5G pada awal 2024 sebagai satu entiti baharu.

“Menjelang 2024 kita akan memasuki fasa kedua iaitu anjakan kepada dwirangkaian selepas pelaksanaan 5G di bawah DNB,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Fahmi berkata langkah itu bukan sahaja mampu menawarkan kepelbagaian rangkaian untuk rakyat malah untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

“Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerima gunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.

“Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB,” ujarnya lagi.

Jelasnya, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat.

Menurut Fahmi, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

Dalam pada itu, Fahmi dalam kenyataan berkata peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandu syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global.

Katanya amalan itu menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan sahaja untuk rakyat malah sektor perindustrian yang menjadi kumpulan sasar teknologi 5G.

Tambah beliau model itu mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di negara ini sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.

“Selaras dengan prinsip utama dalam Belanjawan 2023, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar berpatutan untuk rakyat,” katanya.

BACA JUGA: Kuota internet tambahan percuma hingga 31 Mei