JAIPs perjelas kenyataan Wadi Annuar jauh tersasar dari realiti

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) memaklumkan sesi mengambil keterangan penceramah Mohamad Wadi Annuar Ayub gagal kerana beliau didakwa keluar dari bilik siasatan dan menghilangkan diri tanpa sebarang makluman.

Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata, kenyataan Wadi Annuar yang dikeluarkan semalam berhubung situasi yang berlaku di premis itu juga jauh tersasar.

“Kenyataan Wadi bertarikh 2 Mei adalah jauh tersasar dari realiti sebenar yang berlaku di JAIPs,” katanya sambil menambah pendakwah itu gagal memberikan kerjasama yang dipinta JAIPs.

“Berdasarkan pertemuan itu, Wadi gagal memberikan kerjasama seperti mana yang ditetapkan oleh JAIPs dan jabatan ini akan meneruskan kes berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang sedang berkuatkuasa dalam negeri Perlis,” tambahnya menerusi kenyataan ringkas semalam.

Semalam, Wadi dilapor hadir kira-kira jam 10 pagi ke JAIPs ditemani dua peguamnya iaitu Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh.

Bagaimanapun peguamnya, Mohd Jamil mendakwa sepanjang satu jam mereka di premis itu, pelbagai kerenah birokrasi cuba ditimbulkan pegawai JAIPs menyebabkan mereka mengambil keputusan beredar tanpa proses memberi keterangan.

Dakwanya juga, anak guamnya sudah memenuhi arahan untuk tampil ke pejabat JAIPs namun beberapa hak termasuk mendapatkan peguam ketika sesi temubual dinafikan JAIPs.

Wadi dipercayai pulang ke Kompleks Pendidikan MATIN di Kangar selepas ‘hilang’ dari pejabat agama Islam itu.

Sementara itu, Najmuddin dilapor semalam memberitahu bahawa JAIPs memerlukan Wadi seorang sahaja untuk hadir ke premis itu dan tiada keperluan untuk peguamnya hadir kerana ia bukan perbicaraan mahkamah.

Bahkan katanya, kehadiran peguam pendakwah berkenaan ke dalam premis JAIPs juga diberikan atas budi bicara pegawai penyiasat JAIPs.

Siasatan terhadap Wadi Annuar selepas penceramah itu didakwa mengajar tanpa tauliah di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang di Kangar pada Ramadan lalu.

Wadi, 40, dikenali dengan kuliah agamanya yang tersebar di media sosial mengenai akhir zaman, akhirat dan sirah Rasulullah SAW dalam nada sedih dan syahdu kecuali jika menyentuh isu berkaitan fahaman wahabi.

BACA JUGA Ustaz Wadi Annuar tetap kena ‘menghadap’ atau bakal ditangkap