Kebebasan media terbaik di Asean: Kerajaan Perpaduan komited pastikan media bebas
Selaras dengan konsep Malaysia Madani, Kerajaan Perpaduan akan terus beriltizam mendukung hak kebebasan bersuara media.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching yang mengulangi komitmen berkenaan berkata, pencapaian yang lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan hari ini dapat dilihat menerusi Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RFS).
“Dapat dilihat pencapaian yang lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan hari ini, iaitu (Indeks Kebebasan Media) meningkat kepada 113 (51.55 mata) berbanding tahun sebelum pada kedudukan 119 (60.53 mata).
“Tambahan pula, saya sendiri mengikuti rapat cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang kita berusaha realisasikan sejak 2018 lagi dan kini dalam proses penelitian Rang Undang-Undang (RUU) sebelum dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Ahli Parlimen Kulai itu turut menghargai peranan pengamal media tempatan yang menyumbang bakti dan jasa dalam menyampaikan laporan berita yang tepat, pantas dan terkini.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata kementeriannya, bakal memberi berita baik buat pengamal media negara bersempena dengan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 27 hingga 29 Mei ini.
Difahamkan, pengumuman itu berkait dengan RUU Majlis Media yang berfungsi dalam memartabatkan kebebasan media.
BACA JUGA Indeks Kebebasan Akhbar 2022: ‘Pencapaian yang membanggakan buat negara’