Jangan-jangan Tanjung Karang jadi kubur PN, bukan kubu

Datuk Seri Noh Omar didakwa membuat pusingan U selepas sedar beliau belum tentu terpilih sebagai calon mana-mana komponen Perikatan Nasional (PN).

Lagi pun, kata Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, pengaruh Noh tidaklah sebesar mana sehingga boleh menjadikan Tanjung Karang sebagai ‘kubu’ PN.

“Jangan-jangan jadi kubur PN pula sudahlah,” kata Lokman dalam siaran langsung beliau malam tadi.

Katanya, kalau akar umbi Noh sendiri tidak menyokong beliau, bagaimana pula nak jadikan Tanjung Karang sebagai kubu PN.

Menurut beliau, proksi Noh kalah untuk peringkat bahagian dan pemuda di Tanjung Karang dan hanya menang untuk wanita dan puteri sahaja dalam pemilihan Umno tahun ini.

“Proksi Noh Omar bertanding ketua pemuda kalah, tanding ketua bahagian kalah. Hanya untuk ketua wanita dan ketua puteri je menang.

“Jadi nak kata dia berpengaruh di akar umbi tak betul juga,” katanya.

Dua hari lepas, media melaporkan, Noh akan bertanding atas tiket PN dan akan menjadikan Tanjung Karang sebagai kubu PN.

Namun semalam, Noh menafikan laporan media itu.

“Ada portal telah menyiarkan bahawa saya akan menjadi calon PN dalam PRN akan datang.

“Saya ingin jelaskan bahawa untuk menjadi calon mana-mana parti, hanya pimpinan parti yang akan menentukan siapakah yang layak menjadi calon,” katanya.

Beliau menjelaskan, sehingga kini, beliau juga masih belum menjadi ahli mana-mana parti politik dalam PN.

“Maka, adalah tidak betul kalau mengatakan saya akan menjadi calon PRN akan datang,” ujar beliau.

 

BACA JUGA Rakyat Selangor tidak termakan dakyah agama, kaum dimainkan Pas

JUGA Noh Omar tidak relevan, sukar gugat PH di Selangor