Pemuda PH, BN bertemu kali pertama sempena Konvensyen Kerajaan Perpaduan
Buat pertama kalinya sayap-sayap Pemuda Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertemu empat mata dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Pertemuan tersebut diadakan dalam satu Majlis Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan bersempena dengan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dijadualkan pada 14 Mei depan.
Antara pimpinan muda PH yang hadir termasuklah Ketua AMK Malaysia Adam Adli Abd Halim; Ketua Pemuda AMANAH Hasbie Muda; Timbalan Pemuda DAP Kebangsaan, Young Shefura serta Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nurthaqaffah dan Naib Ketuanya, Nur Najihah Muhaimin.
Pimpinan muda Umno pula melibatkan kehadiran Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh; Naib Ketua Pemuda, Hairi Mad Shah serta Setiausaha Pemuda, Mohd Hafiz Ariffin.
Sementara itu, pimpinan sayap Pergerakan Puteri Umno yang hadir ialah Setiausaha Puteri Umno Malaysia, Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani; Bendahari Hanis Hazwani Hazmin; Ketua Penerangan, Shamellya Norazizi dan Exco, Reena Awliyatul Imani.
Dalam mesyuarat tersebut, sekretariat kerja awal sayap-sayap pemuda Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan, dianggotai oleh setiausaha-setiausaha dari setiap anggota komponen.
“Terima kasih atas kesabaran semua. Bukan mudah untuk gerakkan gabungan serba rencam.
“Alhamdulillah, mesyuarat pertama sayap-sayap pemuda dan pemudi Kerajaan Perpaduan berjalan lancar. Jalan terus!
“Tugasan pertama adalah menjayakan Konvensyen Sayap Pemuda yang pertama 14 Mei ini di PWTC,” ciap Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
BACA JUGA Pemuda PH Negeri Sembilan cabar PN namakan segera calon MB
Â