Pengundi patut tolak calon Pas, ramai pemimpinnya kalah saman fitnah
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan calon Pas tidak wajar diangkat sebagai wakil rakyat selepas banyak rekod menunjukkan pemimpin parti itu kalah dalam kes saman fitnah.
Beliau berkata pengundi patut menolak calon-calon Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana negara dalam fasa menuju kestabilan, maka orang-orang politik yang memfitnah atas nama agama tidak diperlukan.
“Saya menyeru semua penyokong, pengundi Perikatan Nasional (PN) di mana Pas merupakan komponen terbesar, calon-calon Pas tidak boleh lagi kita terima kerana mereka mendukung politik fitnah, politik pembohongan.
“Sebagai parti Islam amat memalukan kerana terus menerus (melempar fitnah) hingga saat ini walaupun mahkamah telah membuktikan (mereka bersalah).
“Mereka tetap menggunakan isu umat Islam tidak dijaga dengan mengambil contoh aset umat Islam kononnya dijual ketika Pakatan Harapan 22 bulan menjadi kerajaan,” ujarnya.
Beliau merujuk kepada kes membabitkan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani yang gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk meneruskan saman fitnah terhadap Mujahid.
Dusuki menerusi video ceramahnya sebelum ini mendakwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam. Mujahid kemudian tampil membidas hal tersebut dengan memuat naik ciapan balas terhadap Dusuki berbunyi;
“Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.
Rentetan ciapan Mujahid pada 22 November 2020 itu, Ahmad Dusuki tampil mengemukakan saman fitnah yang kemudian makan diri apabila dua mahkamah memutuskan Mujahid tidak bersalah dan tidak mengeluarkan sebarang fitnah kerana aset TH tidak pernah dijual.
Pada masa sama Mujahid berkata, negara bakal rosak jika mempunyai wakil rakyat yang sentiasa “mengiyakan fitnah” dan berpendapat pengundi di enam negeri wajar menolak calon Perikatan Nasional demi kestabilan dan perpaduan.
“Saya setuju pengundi di enam negeri patut tolaklah PN sebab mereka memfitnah. Macam mana kita nak sokong parti yang mendukung fitnah. Bukan saya kata (mereka buat) fitnah, itu apa yang telah dibuktikan di mahkamah
“Rosak negara kerana mereka mengiyakan fitnah. Negara ini dalam fasa perpaduan dan kestabilan, maka tidak memerlukan orang politik yang memfitnah atas nama agama dan kaum,” katanya.
BACA JUGA: Mahkamah Tinggi tolak rayuan Dusuki, diperintah bayar Mujahid RM7,000