Pertemuan Hadi dan Mahathir: Ini ‘Kesepakatan Ahzab’

Pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi disifatkan sebagai satu ‘Kesepakatan Ahzab’  untuk porak perandakan negara, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad.

“Pakatan ini bolehlah saya namakan ‘Kesepakatan Ahzab’ kerana ianya kesepakatan untuk memporak perandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah,” kata Khalid dalam kenyataannya hari ini.

Bagi beliau, langkah mereka ini akan menyebabkan keyakinan pelabur terjejas dan usaha yang sedang giat dijalankan kerajaan, untuk memulihkan ekonomi negara, ketika dunia di ambang krisis ekonomi, terjejas teruk.

Namun, katanya, mereka tidak kisah kesan tindakan mereka kerana Kesepakatan Ahzab ini hanya mementingkan kuasa.

Sedang, tambahnya, bila berkuasa tempoh hari, tiada yang bermakna yang telah mereka berjaya usahakan.

“Namun demi kepentingan bersama dan keinginan berkuasa, musuh kini menjadi kawan,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Akhirnya bertemulah dua pemuka negara yang selama ini bermusuhan antara satu sama lain iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, kata Khalid, bekas pemimpin Pas dan dilebelkan penyokong Mahathir sebelum ini.

Melihat kepada gambarnya, ia berlaku di rumah Tun Dr Mahathir.

Hadi dan panglimanya menunjukkan surat proklamasi orang Melayu yang dipelopori Mahathir, yang telah ditandatangani oleh beliau. Hadi pemimpin politik kedua selepas Annuar Musa menandatangani proklamasi ini.

Yang menarik juga, katanya, untuk pertemuan sebegini, Hadi bukan datang seorang tetapi dengan panglima-panglima beliau yang kesemuanya bukan golongan ulama.

“Bagi saya, matlamat pertemuan ini hanya satu, untuk mencapai hasrat bersama iaitu menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum lepas dan diperkenan oleh YDPA.” katanya.

Kalau pasca pilihan raya ke 14 lalu, Hadi berkata, beliau dan rakan-rakannya merampas Kerajaan PH bukan melalui “pintu belakang”, sebagaimana yang didakwa pemimpin PH, tetapi secara “tebuk atap”.

“Kita tidak tahu apa pula nama projek mereka berdua kali ini.

“Yang pasti, kedua-duanya mahu usahakan agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dijatuhkan.

“Seorang mahu selamatkan kaum kerabat dan anak beranak yang terkait dengan Pandora Papers sambil yang seorang lagi tidak sempat puas kerana berada di tampuk kuasa dalam tempoh yang sekejap sahaja,” katanya.

 

BACA JUGA Tun M, cukup-cukuplah tu, move on

JUGA Pas: Dahulu, kini dan selamanya…