Rundingan agihan kerusi PH,BN di Kedah terus berjalan – Mahfuz
Proses rundingan kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah akan dilakukan dengan beberapa siri perbincangan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata, proses rundingan itu memerlukan masa untuk mencapai kesepakatan.
“Perundingan baru sekali dan bakal melalui beberapa kali rundingan dan kita perlukan sedikit masa untuk menyelesaikannya.
“Justeru itu, perbincangan ini juga merupakan pertemuan secara dalaman dan kita tidak mahu proses rundingan tersebut diperbesarkan kepada awam,” katanya yang juga pengerusi bersama pimpinan parti Kerajaan Perpaduan di Kedah ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi memaklumkan proses pengagihan kerusi di negeri itu sudah hampir dimuktamdkan.
Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH membidas kerjasama Proklamasi Melayu yang melibatkan Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohammed.
Katanya, proklamasi tersebut dilihat mengundang kepada semangat ‘asabiah’ di samping ia juga bertentangan dengan prinsip Abdul Hadi yang pada suatu ketika dahulu menolak pemikiran tersebut.
“Pada suatu ketika dahulu Haji Hadi sangat menolak semangat assabiah atas dasar ia bertentangan dengan Islam tetapi kini dia bersama dengan pemikiran tersebut,” katanya.
BACA JUGA: PH tumpu rampas Kedah, kekalkan tiga negeri